
Jawatankuasa Pemandu BERSIH 2.0 dalam kenyataan berkata, isu lompat parti mengambil tempat dalam senario politik negara pasca pilihan raya umum ke-14 (PRU14), susulan tindakan Bersatu menerima kemasukan beberapa Ahli Parlimen Umno.
“Siri lompatan parti kemudiannya berterusan sehingga ‘Langkah Sheraton’ menyaksikan kerajaan Pakatan Harapan (PH) jatuh, akibat pengkhianatan daripada Bersatu yang bekerjasama dengan Umno dan PAS membentuk kerajaan Perikatan Nasional (PN).
“Kemudian, Umno menarik semula sokongan yang menyebabkan kerajaan berkenaan juga tumbang pada Ogos lalu,” katanya.
Katanya, kesan daripada siri lompatan itu menjadikan rakyat dan pengundi biasa hanya mampu menjadi penonton sahaja tanpa ada sebarang kuasa untuk mendesak wakil rakyat menghormati mandat diberikan kepada mereka dalam pilihan raya umum lalu.
Katanya, adalah diharapkan usul berkaitan undang-undang antilompat parti tidak akan ditolak atas sebarang teknikaliti remeh-temeh oleh Speaker Dewan Rakyat Azhar Azizan Harun.
“BERSIH 2.0 menaruh harapan besar pemberian jalan rang undang-undang ini berdasarkan kenyataan Menteri Undang-Udang Wan Junaidi Tuanku Jaafar pada 30 Ogos lalu, yang menyebutkan “undang-undang anti-lompat parti adalah penting”,” katanya.
Katanya, BERSIH 2.0 berkata konsep “ketuanan pengundi” memberi jaminan mengembalikan semula kuasa kepada pengundi selain menghormati mandat berdepan isu lompat parti yang perlu dimuktamadkan.
Hari ini, Azalina berkata, beliau akan mengemukakan satu usul kepada Azhar bertajuk Rang Undang-Undang (RUU) Pemecatan Ahli Parlimen 2021.
Beliau berkata, Akta Pemecatan Ahli Parlimen merupakan langkah terbaik untuk mencegah wakil rakyat daripada melompat parti dengan pengundi boleh menarik balik mandat yang mereka berikan kepada wakil rakyat yang membelakangi mereka melalui pilihan raya baharu.