SOP jelas, ringkas bantu pulih ekonomi, kerajaan diberitahu

SOP jelas, ringkas bantu pulih ekonomi, kerajaan diberitahu

Ketua Penerangan Umno Shahril Hamdan menyeru agar dasar disesuaikan untuk mengurangkan kesan gangguan kepada rantaian bekalan global.

Shahril Hamdan berkata, jika tiada kejelasan dalam SOP operasi, syarikat akan kehilangan pelanggan mereka di luar negara. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Kerajaan digesa memastikan prosedur operasi standard (SOP) untuk perniagaan adalah jelas dan ringkas memandangkan lebih banyak sektor ekonomi mula dibuka kembali.

Dengan rantaian bekalan global dilaporkan akan terganggu hingga tahun depan, Ketua Penerangan Umno Shahril Hamdan berkata, kerajaan harus memperbaiki dasarnya bagi mengurangkan kesan terhadap pemulihan ekonomi Malaysia.

Katanya, dia percaya SOP sedia ada untuk meneruskan semula aktiviti perniagaan akan segera menggantikan vaksinasi sebagai faktor utama dalam pemulihan ekonomi negara.

“Kadar vaksinasi kita meningkat dengan stabil dan dengan menteri (Khairy Jamaluddin) bertugas, gangguan terhadap rancangan itu dijangka minimum.

“Sebelum ini, kadar vaksinasi dianggap sebagai penawar bagi segala-galanya, tetapi kita sekarang lebih tahu (hakikatnya). (Kemunculan) varian Delta bermaksud negara-negara di seluruh dunia dengan kadar vaksinasi yang cukup baik sedang menghadapi kesulitan, termasuk Malaysia.

“Hampir 30% hasil pengeluaran kita berkait dengan rantaian nilai global. Jika tiada kejelasan dalam SOP operasi dan rancangan pembukaan semula tidak lama lagi, syarikat kita akan kehilangan pelanggan mereka di luar negara.”

Sementara itu, Pengarah Eksekutif Dewan Perniagaan dan Industri Antarabangsa Malaysia (MICCI) Shaun Cheah berkata, kerajaan harus memastikan SOP itu ringkas.

Beliau berkata, semua perniagaan patut dibenarkan beroperasi jika semua kakitangan telah lengkap vaksinasi, selain menyarankan tiada had bagi tenaga kerja.

“Ini akan memudahkan pihak penguat kuasa, tanpa perlu menghitung 60% tenaga kerja dan sebagainya. Mereka boleh memilih mana-mana pekerja secara rawak dan meminta mereka menunjukkan sijil vaksinasi,” katanya kepada FMT.

Shahril juga berkata, penurunan hasil pengeluaran global memberi banyak kesan, seperti kenaikan 10 kali ganda kos kontena dari Asia ke Eropah berbanding Mei tahun lepas.

Menyebut negeri industri utama seperti Selangor, Johor dan Pulau Pinang, beliau berkata, industri di situ masih beroperasi dengan kapasiti berkurangan dengan ketidaktentuan mengenai bila dan bagaimana mereka akan dapat kembali kepada kapasiti hampir penuh.

“Ini bermaksud bahawa mereka akan berasa sukar untuk melaksanakan atau menjelaskan rancangan penyesuaian kepada pelanggan,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.