Kerajaan ‘Keluarga Ismail’ belum cukup ubah nasib ‘malap’ MN, kata penganalisis

Kerajaan ‘Keluarga Ismail’ belum cukup ubah nasib ‘malap’ MN, kata penganalisis

PAS diramal akan hanya memperkukuh kerjasama politik Melayu Islam dalam Muafakat Nasional jika Ismail Sabri Yaakob dan pengikutnya mengambil alih kepimpinan Umno.

Penganalisis berkata meskipun Ismail Sabri Yaakob menerajui kerajaan, Umno masih dipimpin Ahmad Zahid Hamidi dan mempunyai blok ‘anti-Bersatu’ yang tidak memungkinkan kerjasama antara tiga parti itu. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Penyatuan Umno-PAS-Bersatu dalam kerajaan “Keluarga Ismail Sabri Yaakob” tidak bermakna masa depan cerah untuk tiga parti itu bekerjasama bawah Muafakat Nasional (MN) bagi menghadapi pilihan raya umum akan datang, kata penganalisis.

Syak wasangka antara tiga parti berteraskan Melayu-Islam itu masih tebal walaupun pimpinan negara sudah beralih daripada Muhyiddin Yassin yang juga presiden Bersatu kepada Ismail yang merupakan naib presiden Umno.

Ahmad Fauzi Abdul Hamid dari Universiti Sains Malaysia (USM) meramalkan PAS akan mengambil sikap tunggu dan lihat sebelum menganjurkan kerjasama politik lebih nyata dengan Umno menerusi MN.

Beliau berkata, meskipun Ismail menerajui kerajaan, Umno masih dipimpin Ahmad Zahid Hamidi dan mempunyai blok “anti-Bersatu” yang tidak memungkinkan kerjasama antara tiga parti itu.

PAS turut melihat Zahid sebagai masih bawah bayangan Ketua Pembangkang Anwar Ibrahim yang memimpin Pakatan Harapan selain menjadi presiden PKR, kata Ahmad Fauzi.

“Selagi Umno diketuai oleh Zahid dan ‘team’ anti-Bersatu, PAS akan ‘play safe’ dulu dengan mengutamakan Perikatan Nasional (PN),” katanya.

PAS dan Umno menubuhkan MN tahun lalu. Bagaimanapun, susulan “Langkah Sheraton” yang menyaksikan Muhyiddin dilantik perdana menteri, PAS menjadi parti komponen PN selain mendesak Umno menerima Bersatu dalam MN.

Bagaimanapun Umno menolak cadangan itu, malah memutuskan kerjasamanya dengan Bersatu atas tuduhan parti pimpinan Muhyiddin itu melakukan pelbagai pengkhianatan terhadap Umno termasuk memancing ahli dan pemimpinnya dengan tawaran wang dan jawatan.

Segala perkembangan itu merencatkan MN sebagai gandingan parti politik Melayu-Islam untuk bersaing dengan PH pada PRU15, khususnya di kerusi majoriti Melayu di Semenanjung.

Peralihan kuasa daripada Muhyiddin kepada Ismail bulan lalu dilihat membuka ruang untuk memberikan nafas baharu kepada MN, lebih-lebih lagi kerana Ismail dilihat mesra PN dan PAS, selain memperoleh sokongan Umno untuk menyandang jawatan pemimpin utama negara.

PAS rela terus bersama Bersatu-PN

Ahmad Fauzi berkata, selagi tidak ada perubahan dalam pucuk pimpinan Umno, PAS dilihat lebih rela terus bersama Bersatu-PN dan tidak cenderung menjalinkan kerjasama politik dengan Umno menerusi MN.

“Mereka (PAS) tetap mendapat tempat dalam kerajaan Ismail tetapi rata-rata (masih) tidak bersetuju keputusan Majlis Kerja Tertinggi Umno (pimpinan Zahid) menarik balik sokongan kepada kerajaan PN dulu,” katanya kepada FMT.

Bagaimanapun, PAS diramal akan cuba mengukuhkan kerjasama politik Melayu Islam dalam MN sekiranya Ismail dan pengikutnya mengambil alih kepimpinan Umno.

“PAS akan berharap supaya Ismail dan pasukannya mengambil-alih kepimpinan Umno supaya kecenderungan politik MN dengan PN dapat diselarikan,” katanya.

Penganalisis politik veteran, Ahmad Atory Hussain senada dengan Ahmad Fauzi dan menjangka PAS akan terus mengambil langkah paling selamat demi kelangsungan politiknya dengan terus berpaut kepada Bersatu dan Umno mengikut keperluan parti.

“PAS tidak akan tinggalkan Bersatu dan Umno. Bersatu bawah Muhyiddin dah beri jawatan menteri (kepada PAS), kini Umno bawah Ismail pun beri jawatan menteri (kepada PAS),” katanya.

Pemerhati dan penulis buku politik, Mohd Sayuti Omar menjangka Umno dan PAS akan bekerjasama di beberapa negeri pada pilihan raya umum nanti.

“Untuk PRU15, saya masih berpendirian seperti dahulu, Umno akan kekalkan hubungan dengan PAS, (menerusi MN) di beberapa negeri, sementara di negeri lain mereka bertembung sesama sendiri.

“Misalnya (senario) di Kelantan, Kedah, Selangor, membayangkan Umno akan bekerjasama dengan PAS. Sebaliknya di negeri lain, mereka akan bertembung sesama sendiri. Bagaimanapun usaha akan dilakukan agar ada penyelesaian.

Sayuti menyifatkan PAS sebagai parti yang “tidak begitu mengejar kekuasaan, bagi mereka cukup kalau mengekalkan status quo yang ada hari ini.”

“PAS bukan parti yang mahu mencipta masa depan lebih luas seperti parti lain. Ia…bersikap pragmatik,” katanya.

Sayuti berkata, skop kerjasama PAS dengan Bersatu mahupun Umno banyak bergantung kepada nasib dua parti itu sendiri.

“PAS akan bertolak ansur dengan Bersatu, Pas tidak akan tinggal terus, tetapi melihat keperluan dan akan menjalin kerjasama dengannya. Seluas mana kerjasama itu, PAS akan tengok siapa waktu itu lebih berpotensi untuk menang besar, Bersatu atau Umno,” katanya.

Status quo kekal

Sementara itu, pakar geostrategis Azmi Hassan berkata status quo ketika ini kekal di mana PAS lebih cenderung kepada PN-Bersatu berbanding MN.

Bagaimanapun, katanya sokongan PAS kepada Bersatu mungkin bergantung kepada kemampuan parti itu mengekalkan pengaruhnya dalam kerajaan pimpinan Ismail.

“Kita tahu Umno sekarang dipimpin oleh Umno. Kedudukan PAS sama ada mahu kekal dalam MN (dan bekerjasama dengan Umno) bergantung sekuat mana Bersatu dalam kerajaan baharu ini,” katanya.

Ketika ditanya mengenai kesediaan tiga parti Melayu-Islam terbesar itu mengukuhkan MN menjelang pilihan raya umum akan datang, Azmi berkata ia bergantung sama ada Umno mampu mendominasi Bersatu.

“Setakat ini tiada perubahan dalam pendirian PAS untuk sokong PN. Tetapi perkara ini dapat berubah jika Umno menjadi parti dominan kerajaan dalam masa dua, tiga bulan.

“Kalau itu berlaku dan Umno dapat kawal tingkah laku Bersatu, maka sudah pasti PAS akan beralih angin dan berbaik dengan Umno dan mahu hidupkan kembali MN,” katanya.

Beliau berkata, Umno hanya dapat menerima Bersatu jika ia merasakan parti itu bukan lagi lawan yang kuat dan sekadar menjadi rakan untuk membantunya memenangi PRU15.

“(Jadi dalam keadaan itu), Umno tiada masalah terima Bersatu kerana mereka kuasa dominan dalam MN. Bersatu pula tiada pilihan lain tetapi harus bekerjasama dengan Umno dan menjadi rakan MN yang tidak berapa kuat.”

Apa pun, Ahmad Atory berpendapat, Umno-Bersatu-PAS perlu berada pada saf yang sama untuk berdepan PH dan Pejuang menjelang PRU15. Kegagalan bergabung menerusi MN mungkin mengundang padah untuk Umno sendiri.

“Umno kena kerjasama dengan PAS dan Bersatu untuk berdepan dengan PH dan Pejuang. Kalau Umno tak mahu kerjasama dengan Bersatu, PAS mungkin ikut Bersatu. Maka Umno bersendirian…belum tentu Umno boleh menang selesa,” katanya.

“Jangan fikir Umno boleh jadi dominan, itu 60 tahun dulu. Sekarang imej Umno banyak tercalar,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.