
Ketua Menteri, Abang Johari Openg berkata, pendekatan itu akan dilaksanakan menerusi kerjasama antra Lembaga Multimedia Sarawak, Perbadanan Ekonomi Digital Sarawak, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia serta Sarawak Information System Sdn Bhd.
“(Melalui pendekatan ini) kita akan dapat meningkatkan lagi kelajuan dan juga akses kepada seluruh kawasan, sama ada di bandar atau di luar bandar (di Sarawak),” katanya ketika berucap merasmikan majlis Hari Inovasi dan Integriti Jabatan Tanah dan Survei Sarawak.
Beliau berkata, kepentingan kesalinghubungan ini ditekankan dalam pelaksanaan Strategi Pembangunan 2030 Pasca Covid-19 (PCDS 2030) Sarawak yang diumumkannya Julai lepas dan perlu dimanfaatkan anggota perkhidmatan awam dalam menyampaikan perkhidmatan kepada sektor swasta dan rakyat.
“Strategi pembangunan ini akan membawa pembangunan pesat kepada rakyat Sarawak sekali gus meningkatkan kesejahteraan sosioekonomi rakyat dengan lebih banyak akses kepada peluang ekonomi.”
Dalam pada itu, Abang Johari turut meminta agensi kerajaan lain di Sarawak mencontohi Jabatan Tanah dan Survei (JTS) Sarawak yang menjalin kerjasama strategik dengan institusi pengajian tinggi bagi menjalankan penyelidikan dan pembangunan (R&D).
JTS Sarawak dan Universiti Teknologi Malaysia (UTM) memeterai memorandum persefahaman dalam majlis itu untuk mewujudkan Makmal Satelit JTS-UTM bagi tujuan R&D, menerusi perkongsian teknologi, kepakaran, peluang latihan dan penyelidikan.
“(Kerjasama) ini bukan sahaja memberikan manfaat kepada UTM untuk mendalami situasi sebenar dalam industri, malah akan memberikan manfaat besar kepada JTS untuk menjalankan penyelidikan lebih teliti dan terperinci.”
Katanya, kepentingan aspek R&D semakin terserlah sewaktu negara menghadapi krisis Covid-19 dan projek ekonomi digital yang dilancarkannya pada 2017 membolehkan Sarawak melaksanakan persiapan awal menghadapi keadaan itu.
“Kalau kita tidak berinovasi, tiada R&D, tiada inisiatif untuk meningkatkan prestasi perkhidmatan, mungkin kita akan mengalami krisis yang kritikal untuk berhadapan dengan situasi pada ketika ini dalam keadaan pandemik Covid-19.”