Ahli perniagaan pukul pengawal keselamatan kini berdepan tuduhan membunuh

Ahli perniagaan pukul pengawal keselamatan kini berdepan tuduhan membunuh

Pendakwaan menarik semula tuduhan terhadap Ahmad Noor Azhar Muhammad mengikut Seksyen 335 Kanun Keseksaan dan menggantikannya dengan Seksyen 302 kanun sama kerana dakwaan membunuh.

Ahli perniagaan, Ahmad Noor Azhar Muhammad, 33, dibawa keluar dari Mahkamah Majistret Ipoh selepas didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh seorang pengawal keselamatan pada 29 Disember 2020.
IPOH:
Ahli perniagaan yang sebelum ini dituduh memukul seorang pengawal keselamatan hingga parah kini berdepan dakwaan membunuh.

Ahmad Noor Azhar Muhammad, 33, didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati mandatori selepas pertuduhan membabitkan Seksyen 335 Kanun Keseksaan yang sepatutnya menetapkan hukuman ke atasnya hari ini ditarik balik oleh pihak pendakwaan.

Bagi Seksyen 335 Kanun Keseksaan mahkamah melepaskan tertuduh tanpa membebaskannya (DNAA).

Prosiding pendakwaan dijalankan oleh Pengarah Pendakwaan Negeri Perak Azalina Rasdi di hadapan majistret Noor Azreen Liana Mohd Darus.

Tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh kerana kes bunuh adalah di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

Mengikut kertas pertuduhan, Ahmad Noor Azhar didakwa membunuh seorang pengawal keselamatan, Thava Sagayam Santhanasamy, 64.

Dia dituduh kesalahan itu antara jam 8 hingga 9.30 pagi pada 29 Disember 2020, di Tingkat 7, Menara Majestic, Jalan CM Yusuff di sini.

Tertuduh diwakili peguam Ariff Azami Hussein manakala M Kulasegaran menjadi peguam pemerhati bagi keluarga mangsa.

Mahkamah menetapkan 18 Oktober ini sebagai tarikh sebutan semula kes manakala tertuduh tidak diberikan jaminan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.