Anak lahir di luar negara layak diberi kewarganegaraan jika ibu rakyat Malaysia

Anak lahir di luar negara layak diberi kewarganegaraan jika ibu rakyat Malaysia

Hakim Mahkamah Tinggi Akhtar Tahir berkata perkataan 'bapa' dalam Jadual Kedua Perlembagaan Persekutuan mesti bermaksud dan merangkumi ibu.

Mahkamah Tinggi memutuskan kerajaan mesti memberikan kewarganegaraan melalui undang-undang kepada anak yang dilahirkan di luar negara oleh ibu di negara ini.
KUALA LUMPUR:
Mahkamah Tinggi memutuskan kerajaan mesti melalui undang-undang membenarkan wanita rakyat Malaysia memberikan kewarganegaraan kepada anak yang lahir di luar negara.

Hakim Akhtar Tahir, yang menyampaikan keputusannya berkata, perkataan “bapa” dalam Jadual Kedua Perlembagaan Persekutuan mesti bermaksud dan merangkumi ibu.

“Hakim juga memerintahkan semua pihak berkuasa mesti mengeluarkan dokumen yang berkaitan seperti kad pengenalan kepada kanak-kanak terbabit,” kata peguam Gurdial Singh Nijar.

Gurdial berkata, hakim tidak memerintahkan sebarang pembayaran kos kerana ia adalah isu kepentingan awam.

Pihak kerajaan diwakili Peguam Kanan Persekutuan Liew Horng Bin.

Gurdial dibantu oleh Abraham Au, Joshua Andran dan Gan Pei Fern, mengambil pendirian tegas bahawa diskriminasi jantina tidak boleh diamalkan kerana Parlimen pada 2000 telah meminda Perkara 8 Perlembagaan.

Perkara itu menyatakan semua orang adalah sama disisi undang-undang dan berhak mendapat perlindungan undang-undang yang sama.

Pemohon tahun lalu memfailkan tuntutan itu untuk meminta mahkamah mengisytiharkan beberapa peruntukan, iaitu Perkara 14 (1) (b) dan Seksyen 1 (b) dan 1 (c) di bawah Jadual Kedua Perlembagaan tidak sah kerana mendiskriminasi wanita.

Mereka mendakwa bahawa Perlembagaan hanya membenarkan seorang bapa menyerahkan kewarganegaraannya kepada anak yang dilahirkan di luar persekutuan, tetapi seorang ibu tidak boleh berbuat demikian.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.