
Ayu Megawati Mohd Said, kakak kepada Muhammad Sufian berkata, adiknya juga pernah meluahkan hasrat ingin berhenti kerja dan pulang ke kampung untuk menjaga ayahnya yang menghidap penyakit lelah yang kronik.
Katanya, adik bongsunya itu bertugas di Johor sejak tiga tahun lepas dan tidak pernah berkelakuan agresif sebelum ini, namun akhir-akhir ini kerap menyatakan hasratnya untuk pulang ke kampung.
“Rutin kami adik-beradik membuat panggilan video secara berkumpulan selepas Maghrib dan arwah akan menamatkan perbualan apabila masuk waktu azan Isyak, tetapi sejak dua minggu kebelakangan ini arwah berbual lebih lama berbanding sebelumnya,” katanya menurut laporan Bernama.
Ayu yang turut tinggal berdekatan dengan Sufian di Pasir Gudang berkata, pada Sabtu lalu adiknya itu beberapa kali mendesak serta mengajaknya pulang ke kampung, bagaimanapun dia meminta Sufian bersabar hingga Ahad bagi menguruskan dokumen rentas negeri.
“Namun perancangan itu tidak tercapai apabila saya menerima panggilan kira-kira pukul 4 pagi dan dimaklumkan kejadian yang berlaku,” katanya.
Beliau berkata, jenazah Muhammad Sufian selamat dikebumikan pada 9 malam kelmarin di Tanah Perkuburan Islam Pulau Kuda, Kuala Berang, Terengganu.
Dalam kejadian Ahad lepas, jurutera kimia itu ditemui maut dengan kesan kecederaan pada pergelangan tangan serta kaki kanan di rumah sewanya.
Dia sebelum itu dikatakan mengamuk di Masjid Taman Scientex apabila mendapati pintu masjid ditutup selepas waktu Isyak.