
Krisis membabitkan 28,700 akaun pengguna itu kali pertama berlaku pada 2 Ogos susulan paip utama bersaiz 1.2m yang membekalkan air, pecah di dasar Sungai Terengganu, namun ia berjaya dibaiki dan bekalan pulih pada 13 Ogos.
Hanya sempat menikmati air bersih selama kira-kira 10 hari, masalah penduduk berlarutan apabila dua paip berdekatan lokasi insiden pertama pula dilaporkan patah pada 23 Ogos.
Krisis bekalan air itu menyebabkan ramai pengguna berang kerana ia dijangka berlarutan hingga 12 September sementara menanti kerja baik pulih oleh pihak berwajib selesai.
Pensyarah, Rais Mohamad berkata, setiap petang dia dan isteri mengangkut air kerana sekali isian hanya cukup untuk kegunaan sehari saja.
“Saya nak cuba rasional, saya tak nak emosi, saya harap perancang bandar Kuala Terengganu nanti tambah baik prasarana air sebab difahamkan yang pecah di dasar sungai itu satu-satunya laluan air dari Kuala Terengganu ke Kuala Nerus.
“Bagi saya, perancangan bandar mungkin agak 10 ke 20 tahun ke belakang. Sebagai langkah pencegahan, seeloknya mereka (pihak berkuasa) pertimbangkan beberapa laluan paip alternatif, elakkan (pasang) paip dasar sungai supaya kejadian sama tak berulang,” katanya.
Penjawat awam hanya mahu dikenali Yem berkata, dia terpaksa berulang-alik setiap hari dari Kuala Nerus untuk mengangkut air bersih daripada paip di dataran muara utara jambatan angkat atau “drawbridge”.
“Dekat rumah tak cukup, jadi terpaksa ulang-alik ambil air di sini, jauh juga. Harapan saya percepatkanlah (baik pulih paip) dan perbaiki kelemahan untuk kesenangan penduduk pada masa depan,” katanya.
Sementara itu, seorang peniaga yang ditemui berkata, walaupun Syarikat Air Terengganu Sdn Bhd (SATU) ada menghantar air di kawasan kediaman, namun dia masih perlu ke dataran berkenaan setiap hari untuk mengangkut air bersih.
“Saya harap percepatkan baiki (paip pecah) dan tiada kerosakan lagi selepas ini,” kata Fatin Shahirah.
Pengarah Unit Perancang Ekonomi Negeri Terengganu (UPEN), Tun Ahmad Faisal Tun Abdul Razak sebelum ini berkata, hasil siasatan mengenai punca kerosakan paip akan diserahkan kepada Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri pertengahan bulan ini.
Menteri Besar, Ahmad Samsuri Mokhtar, dilaporkan bersetuju membuat pengecualian bayaran selama dua bulan kepada penduduk terjejas.
Gangguan bekalan air itu membabitkan akaun pengguna di lima Dewan Undangan negeri (DUN) iaitu Tepoh, Batu Rakit, Buluh Gading, Manir dan sebahagian DUN Seberang Takir.