Minta duit tak dapat, lelaki tikam kepala adik dengan gunting

Minta duit tak dapat, lelaki tikam kepala adik dengan gunting

Suspek berusia 31 tahun itu berang selepas gagal mendapatkan wang daripada ibunya dipercayai untuk membeli dadah.

Suspek ditahan polis manakala gunting yang didakwa digunakan untuk menyerang adiknya turut dirampas. (Gambar PDRM)
PETALING JAYA:
Polis menahan seorang lelaki kerana disyaki menikam kepala adiknya menggunakan gunting dalam pergaduhan di Kampung Pintas, Beaufort, Sabah, semalam.

Dalam kejadian kira-kira 5.30 petang, suspek berusia 31 tahun dikatakan mengamuk selepas gagal mendapatkan wang yang dipercayai untuk membeli dadah daripada ibunya.

Ketua Polis Daerah Beaufort, Yusoff Zaki Mat Yaacob berkata, suspek turut merosakkan barang di sekeliling sambil menjerit.

Katanya, adik suspek berusia 25 tahun yang melihat kejadian itu menegurnya, namun dia pula diserang.

Beliau berkata, pergelutan berlaku antara mereka sehingga suspek dikatakan mengambil gunting dan menikam kepala adiknya.

“Ibu mereka yang melihat kejadian itu segera meleraikan. Akibat insiden itu, mangsa luka di kepala dan dada kerana terkena gunting yang didakwa digunakan suspek. Mangsa kemudian dibawa ke Hospital Beaufort untuk rawatan lanjut.

“Susulan laporan dibuat ahli keluarga terbabit, sepasukan polis daripada Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Beaufort, menahan suspek dan merampas gunting dipercayai digunakan dalam kejadian itu,” katanya menurut laporan Berita Harian.

Beliau berkata, siasatan awal mendapati suspek disyaki penagih dadah, manakala wang yang diminta dipercayai untuk membeli bahan terlarang itu.

“Siasatan lanjut sedang dijalankan mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana sengaja mendatangkan cedera menggunakan senjata atau lain-lain benda berbahaya,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.