
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Kuala Lumpur Mahidisham Ishak berkata, tertuduh, Tah Goh Bee atau lebih dikenali sebagai Andy, 47, dituduh mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan (menipu) dibaca bersama Seksyen 120B (1) Kanun Keseksaan (pakatan jahat jenayah).
Beliau berkata, tertuduh mengaku tidak bersalah atas pertuduhan yang dibacakan ke atasnya dan mahkamah membenarkan ikat jamin RM20,000 dengan seorang penjamin.
Katanya, mahkamah kemudian menetapkan 28 Oktober ini sebagai tarikh sebutan semula kes, menurut laporan Harian Metro.
Mengulas mengenai kejadian, Mahidisham berkata, pada 20 Dis 2019 itu, tertuduh bersama rakan sejenayahnya yang masih bebas, iaitu seorang warga negara asing menawarkan mangsa untuk membuat tukaran wang asing USD100,000 dengan gandaan berjumlah RM760,000.
Tambah beliau, terpedaya dengan tawaran dibuat itu, mangsa berjumpa dengan ahli sindiket di dalam bilik sebuah hotel dan menyerahkan semua wang USD100,000 untuk disimpan di dalam peti besi bilik hotel terbabit.
Menurutnya, mangsa yang juga seorang lelaki berusia 56 tahun dari Sabah diminta menunggu di bilik hotel sehingga sindiket kembali membawa wang tukaran yang dijanjikan.
“Bagaimanapun, setelah lama menunggu, sindiket gagal dihubungi dan mangsa kemudian mendapati wang di dalam peti besi sudah ditukar kepada wang palsu,” katanya.