
Gopal Sri Ram berkata, halangan seperti itu akan mengakibatkan ketidakadilan dan tidak seiring dengan kehendak undang-undang berkenaan.
“Seksyen 3(3) akta berkenaan tidak patut ditafsirkan dengan cara yang dapat menghalang seorang Muslim dinamakan sebagai responden bersama atas dasar perzinaan,” katanya.
Beliau menambah, kuasa tindakan tidak bergantung kepada agama yang dianuti oleh responden.
“Jika tidak ia akan mengakibatkan pelanggaran hak asasi perayu yang dijamin mengikut Perkara 5(1) dan 8(1) Perlembagaan Persekutuan,” kata Sri Ram yang dibantu peguam Ravi Nekko.
Sri Ram hadir bagi pihak seorang suri rumah bukan Islam dikenali sebagai AJS yang merayu untuk menamakan seorang Muslimah dalam permohonan pemisahan kehakiman terhadap suaminya.
Dalam perceraian kontrak perkahwinan dibatalkan, manakala bagi pemisahan kehakiman, perkahwinan itu masih berterusan tetapi pasangan terlibat dibenarkan hidup berasingan.
Identiti pihak-pihak dirahsiakan seperti diperintahkan oleh Mahkamah Tinggi sebelum ini.
Pada 5 November Mahkamah Persekutuan membenarkan permohonan wanita itu untuk izin mengemukakan rayuan berdasarkan dua persoalan perundangan.
Isu pertama melibatkan sama ada Seksyen 3(3) berkenaan tidak membenarkan pempetisyen bukan Islam menamakan seorang Muslim sebagai responden bersama berkait dakwaan zina bagi kes pemisahan kehakiman.
Isu kedua pula adalah sama ada mahkamah, dalam menghuraikan peruntukan undang-undang sama, patut mengandaikan Parlimen tidak berniat mewujudkan undang-undang yang melanggar Perkara 5(1) dan 8(1) Perlembagaan Persekutuan.
Prosiding hari ini yang dilakukan secara maya dipengerusikan Ketua Hakim Negara Tengku Maimun Tuan Mat yang bersidang bersama-sama Mohd Zawawi Salleh dan Nallini Pathmanathan.
Sementara itu, peguam Kiran Dhaliwal yang hadir bagi pihak wanita beragama Islam dikenali sebagai JBMH itu berkata, Seksyen 3(3) akta terbabit tidak terpakai untuk seorang Muslim atau sesiapa yang berkahwin mengikut undang-undang syariah.
Katanya, orang Islam tidak boleh diminta hadir di mahkamah sivil, seperti juga Mahkamah Syariah tiada bidang kuasa terhadap bukan Islam.
“Jika tidak akan berlaku huru-hara dan kekeliruan,” katanya selain menambah bahawa anak guamnya juga seolah-olah dikenakan pendakwaan dua kali.
Katanya, Perkara 121 Perlembagaan Persekutuan turut menggariskan bidang kuasa mahkamah sivil serta keagamaan.
AJS memfailkan petisyen pemisahan kehakiman terhadap suaminya, RIS pada 2019.
Dia menamakan JBMH, seorang wanita beragama Islam, sebagai responden bersama yang didakwa mempunyai hubungan sulit dengan suaminya itu.
JBMH kemudian memfailkan permohonan untuk menyingkirkan namanya daripada petisyen berkenaan atas alasan akta terbabit tidak terpakai untuk orang Islam.
Mahkamah Tinggi kemudian memutuskan seorang Muslim boleh dinamakan sebagai responden bersama dalam petisyen perceraian, namun bukan bagi pemisahan kehakiman. Ini kerana mahkamah tiada bidang kuasa untuk mengarahkan JBMH membayar ganti rugi atas dasar perzinaan.
Tahun lalu, Mahkamah Rayuan membenarkan rayuan JBMH selepas memutuskan peruntukan akta berkenaan tidak terpakai untuk orang Islam.
Panel mahkamah hari ini menangguhkan penghakimannya.