PAS mahu bersama PN atau MN hadapi PRU15, tanya Umno Pahang

PAS mahu bersama PN atau MN hadapi PRU15, tanya Umno Pahang

Ia susulan saranan Timbalan Presiden Umno, Mohamad Hasan supaya PAS membuat pendirian sama ada mahu bersama MN atau PN pada PRU15.

Wan Rosdy Wan Ismail berkata, PAS Pahang sudah memperakui pilihan mereka adalah Muafakat Nasional akan bekerjasama dengan Barisan Nasional. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
PAS Pusat perlu membuat ketetapan mahu menjalin kerjasama dengan Perikatan Nasional (PN) atau Muafakat Nasional (MN) bagi menghadapi pilihan raya umum ke-15 (PRU15), kata Ketua Umno Pahang, Wan Rosdy Wan Ismail.

Beliau berkata demikian susulan saranan Timbalan Presiden Umno, Mohamad Hasan supaya PAS membuat pendirian sama ada mahu bersama MN atau PN pada PRU15.

Wan Rosdy berkata, PAS Pahang sudah memperakui pilihan mereka ialah MN bekerjasama dengan Barisan Nasional (BN).

Katanya, saranan itu wajar supaya tidak timbul sebarang konflik pada PRU15, jika MN dan PN membuat keputusan meletakkan calon bertanding di kawasan pilihan raya yang sama.

“Di Pahang, sepertimana diperakui Pesuruhjaya PAS Pahang, Rosli Abdul Jabar dan Timbalannya, Andansura Rabu, pilihannya ialah MN bekerjasama dengan BN,” katanya dalam kenyataan yang dilaporkan Sinar Harian.

Wan Rosdy berkata, MN turut diperakui sebagai model terbaik untuk politik negeri itu.

“Saya berharap PAS Pusat dapat membuat pendiriannya seperti saranan Mohamad bagi mengelak kekeliruan dan syak wasangka, bukan sahaja dalam kalangan pemimpin dan ahli Umno, malah saya percaya juga dalam kalangan pemimpin dan ahli PAS,” katanya.

Semalam, Mohamad yang juga Pengarah Pilihan Raya Umno berkata, pembahagian kerusi yang diperuntukkan bagi menghadapi PRU15 sudah dipersetujui di peringkat parti dalam BN.

Katanya, PAS perlu membuat keputusan sama ada mahu bersama MN atau PN bagi menghadapi PRU15, termasuk di peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN).

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.