RUU Ombudsman dibentang tahun depan, kata PM

RUU Ombudsman dibentang tahun depan, kata PM

Kerajaan ketika ini dalam peringkat akhir dalam penyediaan draf sebelum ia dimuktamadkan, dan akan dibawa untuk persetujuan Jemaah Menteri.

Ismail Sabri Yaakob berkata, draf RUU Ombudsman telah dikemukakan kepada Pejabat Peguam Negara pada 24 Ogos lalu untuk semakan lanjut. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Rang Undang-Undang (RUU) Ombudsman dijangka dibentangkan di Parlimen tahun depan, kata Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob.

Beliau berkata, kerajaan ketika ini dalam peringkat akhir penyediaan draf sebelum ia dimuktamadkan dan akan dibawa untuk persetujuan Jemaah Menteri selewat-lewatnya akhir tahun ini.

“Draf RUU Ombudsman telah dikemukakan kepada Pejabat Peguam Negara pada 24 Ogos lalu untuk semakan lanjut setelah beberapa siri perbincangan antara Pusat Governans, Integriti & Anti Rasuah Nasional (GIACC) dan Biro Pengaduan Awam (BPA) pada awal Ogos bagi memuktamadkan perkara dasar dalam RUU tersebut,” katanya dalam jawapan bertulis yang dimuat naik di laman sesawang Parlimen Malaysia.

Perdana menteri berkata, ia selaras dengan keputusan mesyuarat Jawatankuasa Khas Kabinet Mengenai Antirasuah (JKKMAR) pada 21 Sept 2018 yang bersetuju dengan kajian untuk menggubal RUU berkaitan ombudsman.

“Dalam hal ini, kerajaan bersetuju untuk menubuhkan institusi baharu, iaitu Ombudsman Malaysia yang akan menggantikan Biro Pengaduan Awam dalam pengurusan awam negara dengan fungsi merangkumi nasihat, perancangan, pemantauan, penilaian, cadangan dan pelaporan.

“Manakala fokus aduan Ombudsman Malaysia pula tertumpu kepada aduan berkaitan tadbir urus dan sistem penyampaian perkhidmatan kerajaan,” katanya.

Antara dasar yang dikaji dan diperhalusi dengan teliti adalah status dan kriteria Ombudsman Malaysia yang akan ditubuhkan sebagai sebuah badan bebas; struktur dan pelantikan ombudsman; dan mekanisme penyediaan peruntukan bagi Ombudsman Malaysia.

Beliau menjawab soalan Ahli Parlimen Sungai Buloh R Sivarasa yang meminta kerajaan menyatakan status draf RUU Ombudsman yang dikemukakan kepada Jabatan Peguam Negara tahun lalu.

Penubuhan ombudsman pertama kali dipersetujui oleh Kabinet Pakatan Harapan yang diterajui oleh Dr Mahathir Mohamad pada 2019 sebagai sebahagian daripada inisiatif reformasinya.

Mahathir berkata, ombudsman adalah usaha memastikan tindakan ke atas pengaduan berkaitan kementerian dan agensi dapat ditangani dengan lebih efektif.

“Kita bersetuju dengan tugas ombudsman ini, yang terhad kepada menentukan jabatan kerajaan tidak menyeleweng dan terlibat dengan rasuah. Apa juga aduan terhadap jabatan kerajaan, selepas diminta pembetulan daripada agensi tertentu, kalau tak dapat selesai, boleh pergi ke ombudsman,” katanya ketika itu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.