Seludup 7 warga Indonesia, bekas penjawat awam didakwa

Seludup 7 warga Indonesia, bekas penjawat awam didakwa

Timbalan Pendakwa Raya tidak menawarkan jaminan kepada kedua-dua tertuduh kerana kesalahan itu tidak boleh dijamin.

Hakim Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur tidak mengeluarkan sebarang perintah berhubung jaminan selepas tertuduh dan seorang kenalan wanita warga Indonesia mengaku tidak bersalah atas tuduhan penyeludupan migran. (Gambar Reuters)
PETALING JAYA:
Bekas kakitangan kerajaan berstatus kontrak dan seorang kenalan wanitanya mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas pertuduhan menyeludup tujuh warga Indonesia.

Jafperi Noor, 54, dan warga Indonesia, Rohani, 49, didakwa menjalankan penyeludupan migran secara bersama melibatkan enam lelaki dan seorang wanita berumur 24 hingga 51 tahun, menurut laporan Bernama.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di kuarters penjawat awam di Jalan Kasturi P17 (Jalan P17), Presint 17 di Putrajaya pada 10.15 malam, 22 Jun lalu.

Pendakwaan dilakukan mengikut Seksyen 26A Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007 yang membawa hukuman penjara maksimum 15 tahun dan boleh juga didenda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya dari Jabatan Imigresen, Nor’ Amalina Ismail tidak menawarkan jaminan kepada kedua-dua tertuduh kerana kesalahan itu tidak boleh dijamin.

Peguam Farhan Maarof yang mewakili Jafperi memohon anak guamnya dibenarkan jaminan atas alasan tertuduh memberi kerjasama baik sepanjang siasatan dijalankan.

“Anak guam saya kini pengusaha kedai runcit di Kelantan dan bapa kepada empat anak berusia 19 hingga 29 tahun. Anak guam saya juga tidak akan mengganggu mana-mana saksi kes ini,” katanya.

Sementara itu, peguam K Vijeyini yang mewakili Rohani, tidak membuat sebarang permohonan berhubung jaminan.

Hakim Rozina Ayob tidak mengeluarkan sebarang perintah berhubung jaminan dan menetapkan 14 Okt untuk sebutan semula kes.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.