Sabah sedia buka gelembung pelancongan bagi individu lengkap vaksin

Sabah sedia buka gelembung pelancongan bagi individu lengkap vaksin

Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar negeri, Jafry Ariffin berkata kerajaan negeri sudah melakukannya sebelum ini dan yakin ia boleh berjaya.

Ketika ini penduduk di Sabah dibenarkan berkunjung ke pusat pelancongan dalam daerah masing-masing dengan syarat sudah lengkap vaksin dan berstatus risiko rendah dalam aplikasi MySejahtera. (Gambar Bernama)
KOTA KINABALU:
Sabah bersedia untuk membenarkan semula gelembung pelancongan di negeri itu susulan kelonggaran prosedur operasi standard (SOP) kepada individu yang lengkap divaksin, kata Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar negeri, Jafry Ariffin.

Beliau berkata, kerajaan negeri sudah melakukannya sebelum ini dan yakin ia boleh berjaya jika semua pengunjung mematuhi SOP ditetapkan.

“Dengan pelaksanaan garis panduan gelembung pelancongan, pemain industri boleh membuat persediaan untuk membuka semula operasi perniagaan dan pengunjung juga berasa lebih yakin dengan persekitaran pelancongan di sekitar Sabah,” katanya dalam kenyataan.

“Kita ke arah norma baharu pelancongan dan ini adalah masanya untuk industri diaktifkan kembali bermula dengan membenarkan pengunjung tempatan melancong dalam negeri.

“Saya juga ingin menekankan bahawa jika kita ingin terus menikmati kemudahan pelancongan dan riadah, kita harus mematuhi SOP dengan serius.”

Jafry berkata, konsep gelembung pelancongan akan membolehkan pelancong tempatan melancong di luar daerah masing-masing, namun ia perlu dilakukan melalui agensi pelancongan dan hotel yang menyediakan perkhidmatan berkenaan selepas mendapat kelulusan awal daripada Jawatankuasa Pengurusan Bencana Covid-19.

Pelancong mesti dibawa dari satu lokasi ke lokasi lain, mengamalkan perjalanan tanpa kontak dengan mengatur percutian dengan membuat tempahan awal.

Pekerja operator pelancongan, hotel, pusat peranginan dan rumah inap mestilah sudah lengkap vaksin.

Semua pusat pelancongan di seluruh negeri dibenarkan untuk dibuka kepada pengunjung dalam daerah sama.

Ketika ini penduduk di Sabah dibenarkan berkunjung ke pusat pelancongan dalam daerah masing-masing dengan syarat sudah lengkap vaksin dan berstatus risiko rendah dalam aplikasi MySejahtera.

Mereka yang ingin melancong perlu melakukan tempahan awal menerusi agensi pelancongan serta hotel berdaftar dan ia juga perlu mematuhi SOP terbaru yang ditetapkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.