Lesen syarikat lori terbabit nahas di Jalan Ipoh digantung 3 bulan

Lesen syarikat lori terbabit nahas di Jalan Ipoh digantung 3 bulan

Tindakan itu diambil selaras peruntukan bawah Seksyen 62 Akta Pengangkutan Awam Darat 2020 (Akta 715)

Pada 6 September lalu, media melaporkan kemalangan membabitkan lori jenis tipper dengan beberapa kenderaan awam lain di Jalan Ipoh, Kuala Lumpur menghala ke Sentul dari Jalan Duta.
PETALING JAYA:
Lesen pengendali syarikat CBSB Transport Sdn Bhd, iaitu pemegang lesen kenderaan yang mengakibatkan kemalangan membabitkan lima kenderaan lain di Jalan Ipoh, 6 September lalu digantung selama tiga bulan berkuat kuasa semalam.

Menteri Pengangkutan, Wee Ka Siong berkata, keputusan itu dibuat selepas mengambil kira kepentingan awam dan laporan siasatan JPJ Inspection & safety Audit’ (JISA) yang dikeluarkan oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD).

“Pemegang lesen kenderaan barangan yang terlibat dalam kemalangan tersebut digantung selama tiga bulan atau sehingga syarikat memenuhi keperluan Tataamalan Industri Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Bagi Aktiviti Pengangkutan Jalan 2010 (ICOP) sepenuhnya, yang mana terkemudian berkuat kuasa 27 September,” katanya dalam kenyataan.

Katanya, tindakan itu diambil selaras dengan peruntukan mengikut Seksyen 62 Akta Pengangkutan Awam Darat 2020 (Akta 715) dengan syarikat yang gagal melaksanakan ICOP tanpa sebab yang munasabah yang merupakan pelanggaran serius terhadap syarat lesen serta melibatkan risiko keselamatan kepada pemandu, pengguna jalan raya dan juga orang awam.

“MOT sememangnya sentiasa memandang serius isu berkaitan keselamatan kenderaan pengangkutan awam dan tidak akan berkompromi dengan sebarang ketidakpatuhan berkaitan permit dan lesen oleh pengendali.

“Semoga tindakan ini dapat memberi pengajaran kepada pengendali terlibat serta peringatan kepada keseluruhan industri pengangkutan awam dan perdagangan secara amnya,” katanya.

Pada 6 September lalu, media melaporkan kemalangan membabitkan lori jenis tipper dengan beberapa kenderaan awam lain di Jalan Ipoh, Kuala Lumpur menghala ke Sentul dari Jalan Duta.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur, Sarifudin Mohd Salleh berkata, pemandu lori berusia 25 tahun itu didapati positif dadah.

Dalam kejadian 2.40 petang itu, lori berkenaan merempuh dua Perodua Myvi, Proton X70, Honda HRV dan Peugeot 208 FL.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.