Sindiket keluarga dadah ‘Geng Misai’ tumpas

Sindiket keluarga dadah ‘Geng Misai’ tumpas

Bapa berusia 64 tahun digelar ‘misai’ dalangi sindiket turut dianggotai dua anak lelaki, seorang menantu perempuan serta dua kenalan rapat mereka.

Ketua Polis Melaka Abdul Majid Mohd Ali berkata, polis merampas 7.5kg syabu yang ditanam untuk mengelak dikesan pihak berkuasa. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Polis berjaya menumpaskan sindiket pengedaran dadah “Geng Misai” yang didalangi seorang bapa, ahli keluarga dan kenalan rapatnya dengan penangkapan enam ahli geng itu dalam beberapa serbuan di Melaka Tengah dan Alor Gajah hujung minggu lepas.

Ketua Polis Melaka, Abdul Majid Mohd Ali berkata, geng itu diketuai lelaki berumur 64 tahun yang digelar “Misai” dan bekerja sebagai mekanik serta berperanan menjadi tokan sindiket dadah berkenaan.

Beliau berkata, dua anak lelaki dan seorang menantu perempuan lelaki itu serta dua kenalan rapat mereka berumur antara 21 hingga 64 tahun turut ditahan dalam beberapa serbuan di Pangsapuri Hilir Kota di Bandar Hilir di sini dan Kampung Hilir, Kuala Sungai Baru di Alor Gajah bermula 7.30 malam pada Sabtu hingga 2 pagi Ahad lepas.

“Tangkapan pertama melibatkan empat individu termasuk anak lelaki dan menantu perempuannya di Pangsapuri Hilir Kota sebelum tangkapan seterusnya melibatkan tokan berkenaan dan seorang lagi anak lelakinya di rumahnya di Kampung Hilir Sungai Baru.

“Hasil tangkapan berkenaan, polis berjaya merampas dadah disyaki jenis syabu dengan anggaran berat 7.5kg bernilai RM223,100 di rumah tokan tersebut,” katanya menurut laporan Bernama.

Mengulas lanjut, Abdul Majid berkata, pemeriksaan di rumah tokan berkenaan menemui dadah yang ditanam di dalam tanah di kawasan rumahnya bagi mengelak dikesan pihak berkuasa.

Beliau berkata, dadah itu dibekalkan kepada anak, menantu dan kenalan rapatnya untuk diedarkan di sekitar Melaka khususnya di Kuala Sungai Baru.

“Tindakan bawah Akta Dadah Berbahaya (Pelucutan Harta) 1988 juga diambil dengan nilai sitaan sebanyak RM15,000 melibatkan rampasan sebuah kereta dan wang tunai berjumlah RM3,000 dipercayai hasil jualan dadah terlibat,” katanya.

Beliau berkata, empat lelaki berkenaan termasuk tokan terlibat positif dadah jenis methamphetamine selain mempunyai rekod lampau melibatkan jenayah dan dadah.

Katanya, semua mereka direman tujuh hari bermula Ahad dan kes disiasat bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang membawa hukuman gantung mandatori jika sabit kesalahan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.