Statistik kemalangan libat pemandu lawan arus antara fokus Dewan Rakyat

Statistik kemalangan libat pemandu lawan arus antara fokus Dewan Rakyat

Turut berlangsung hari ini sesi perbahasan Rancangan Malaysia Ke-12 yang dibentangkan Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob, semalam.

Sesi perbahasan Rancangan Malaysia Ke-12 yang dibentangkan oleh Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob semalam akan bermula di Dewan Rakyat hari ini. (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR:
Statistik kemalangan jalan raya melibatkan kesalahan pemanduan melawan arus serta langkah dilaksanakan kerajaan untuk membendungnya adalah antara persoalan yang bakal dibangkitkan pada persidangan Dewan Rakyat hari ini.

Menurut Aturan Urusan Mesyuarat Persidangan Dewan Rakyat, perkara itu terkandung semasa sesi Pertanyaan Menteri yang akan diajukan Syed Ibrahim Syed Noh (PH-Ledang) kepada menteri pengangkutan.

Turut terkandung dalam sesi itu adalah soalan Anthony Loke Siew Fong (PH-Seremban) kepada menteri kewangan mengenai kesediaan kerajaan untuk mengkaji semula dasar ekuiti syarikat penghantar fret yang sedang beroperasi memandangkan syarat ekuiti sedia ada sukar dilaksanakan.

Bagi sesi Pertanyaan Bagi Jawab Lisan, isu pematuhan Akta Standard Minimum Perumahan dan Pekerja (Akta 446) susulan pengesanan kluster Covid-19 yang tinggi melibatkan sektor pembuatan dan pembinaan akan dibangkitkan oleh Dr Ong Kian Ming (PH-Bangi) kepada menteri sumber manusia.

Tumpuan juga dijangka terarah kepada soalan Dr Xavier Jayakumar (Bebas-Kuala Langat) kepada menteri kesihatan berhubung langkah kerajaan bagi mengatasi masalah kekurangan pakar perubatan di hospital kerajaan, selain tindakan menyerap pakar perubatan kontrak ke jawatan tetap.

Turut dibangkitkan isu kemiskinan melibatkan Orang Asli dan usaha kerajaan untuk meningkatkan taraf hidup mereka yang akan diajukan Ahmad Nazlan Idris (BN-Jerantut) kepada menteri pembangunan luar bandar.

Usai sesi itu, bacaan kali pertama Rang Undang-Undang Langkah-Langkah Sementara bagi Pembiayaan Kerajaan (Penyakit Koronavirus 2019 (Covid-19) (Pindaan) 2021 dijangka dikemukakan oleh menteri kewangan.

Persidangan Parlimen kemudiannya diteruskan dengan sesi perbahasan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) yang dibentangkan Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob, semalam.

Mesyuarat Penggal Keempat Parlimen ke-14 adalah sidang Parlimen yang pertama di bawah kerajaan pimpinan Ismail dan akan berlangsung selama 17 hari hingga 12 Okt ini.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.