
Ahli Parlimen Segambut, Hannah Yeoh berkata, petunjuk prestasi utama (KPI) menteri seharusnya dibentangkan di Parlimen dan dibahaskan.
Menurut beliau, KPI seseorang menteri bukan dinilai oleh individu yang memilih menteri itu bagi menjawat jawatan berkenaan.
“Bukan menteri tulis sendiri dan Perdana Menteri yang menilaikan. Mana Perdana Menteri akan kata pilihan dia tak baik,” katanya kepada FMT.
Terdahulu, Ismail berharap tidak ada mana-mana menteri dibuang akibat gagal memenuhi prestasi dalam tempoh 100 hari yang ditetapkan.
Ismail berkata, setiap laporan yang dibentangkan seseorang menteri mesti mempunyai “wow factor” kepada rakyat supaya dapat mencapai KPI yang disasarkan.
“Setiap menteri akan bentangkan, kita tunggulah. Dan saya minta menteri bentangkan sendiri dari sudut kementerian masing-masing. Saya jangka mereka ‘perform’, alasan saya letak 100 hari, saya nak menteri ‘perform’, bukan tujuan saya nak buang menteri,” kata Ismail
Sementara itu, Pengarah Komunikasi PKR, Fahmi Fadzil berkata, beliau hairan bagaimana menteri yang gagal ketika kerajaan Perikatan Nasional (PN) boleh “perform” di bawah kerajaan Ismail.
Beliau juga senada dengan Hannah, yang tidak setuju jika Perdana Menteri sendiri yang menilai prestasi menteri.
“Kalau dia beri markah rendah, bukankah itu bermaksud pilihan dia itu salah. Takkah malu rasanya nanti. Mesti ada badan penilai bebas, sama ada di Parlimen atau dibentuk satu jawatankuasa bebas khas untuk menilai prestasi Jemaah Menteri.
“…atau diminta Ketua Audit Negara uruskan,” katanya.
Ketika mengumumkan barisan Jemaah Menteri dan anggota pentadbirannya yang dianggotai 31 Menteri dan 38 timbalan menteri pada 27 Ogos lepas, Ismail menetapkan setiap menteri perlu membuktikan pencapaian awal dalam tempoh 100 hari pertama perkhidmatan.