Pengasuh warga emas disyaki dera bayi 7 bulan

Pengasuh warga emas disyaki dera bayi 7 bulan

Polis sudah merakam keterangan warga emas itu bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-kanak 2001.

Bayi yang baru pertama kali dihantar ke rumah pengasuh itu, disyaki didera warga emas terbabit sehingga lebam di muka, pipi, telinga dan paha kiri.
PETALING JAYA:
Seorang bayi perempuan tujuh bulan dipercayai didera pengasuhnya yang berusia 60 tahun sehingga lebam di muka, pipi, telinga dan paha kiri di Taman Selayang Jaya, Selayang pada Jumaat lalu.

Ketua Polis Daerah Gombak, Zainal Mohamed Mohamed berkata, ibu mangsa yang berusia 40 tahun membuat laporan pada 6.30 petang.

Katanya, siasatan awal mendapati mangsa dihantar ke rumah pengasuh itu buat julung kali pada 9 pagi Jumaat lalu dan diambil semula ibunya pada 4.30 petang.

“Semasa berada di rumahnya, ibu mangsa menyedari kesan lebam kemerahan pada anggota badan bayi itu.

“Pemeriksaan pegawai perubatan mendapati mangsa cedera di paha kiri dan muka kiri sebelum dirawat sebagai pesakit luar di Hospital Selayang,” katanya dalam kenyataan yang dipetik Harian Metro.

Beliau berkata, polis sudah merakam keterangan suspek bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-kanak 2001.

Jika sabit kesalahan, boleh membawa hukuman denda tidak melebihi RM20,000 atau dipenjarakan tidak lebih 10 tahun atau kedua-duanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.