
PETALING JAYA: Tempoh tahanan reman terhadap seorang wanita warga Singapura yang dipercayai memukul seorang kanak-kanak autisme di Ampang Jaya baru-baru ini, disambung tiga hari lagi.
Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Mohamad Farouk Eshak berkata, suspek berusia 51 tahun yang juga pengurus sebuah pusat intervensi kanak-kanak akan direman hingga Khamis bagi membantu siasatan, menurut laporan Harian Metro.
Sebelum ini, media melaporkan penahanan wanita terbabit Sabtu lalu selepas polis menerima laporan bapa mangsa mengenai kejadian itu.
Terdahulu, bapa mangsa memuat naik gambar dan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di Facebook mendakwa anaknya dipukul di pusat intervensi itu.
Hantaran itu kemudian tular dan warganet meminta tindakan tegas diambil ke atas pemilik pusat intervensi berkenaan.