Jengkaut ‘hentam’ Ford Ranger, 3 lelaki ditahan

Jengkaut ‘hentam’ Ford Ranger, 3 lelaki ditahan

Polis berkata kejadian berlaku apabila mangsa yang diserang mengorek jalan di tepi kebunnya untuk dijadikan parit sebagai laluan air kerana kawasan itu dinaiki air.

Tangkap layar video kejadian yang tular di media sosial itu memaparkan sebuah kenderaan pacuan empat roda jenis Ford Ranger dilanggar jengkaut di sebuah kebun kelapa sawit.
TELUK INTAN:
Polis menahan tiga lelaki semalam bagi membantu siasatan kes khianat dan ugutan jenayah membabitkan kejadian pelanggaran sebuah kenderaan pacuan empat roda jenis Ford Ranger menggunakan jengkaut di kebun kelapa sawit di Rancangan Tebatan Banjir (RTB) Labu Kubong, Rabu lepas.

Ketua Polis Daerah Hilir Perak Ahmad Adnan Basri berkata dua daripada mereka yang berusia 28 tahun manakala seorang lagi berusia 47 tahun ditahan kira-kira 4 petang selepas polis menerima laporan kejadian daripada mangsa, seorang lelaki berusia 24 tahun.

“Siasatan awal mendapati kejadian berlaku apabila mangsa mengorek jalan di tepi kebunnya untuk dijadikan parit sebagai laluan air kerana kawasan tersebut dinaiki air, kira-kira 10 pagi.

“Apabila mangsa dan bapanya yang menaiki Ford Ranger itu tiba di kebun mereka pada 2.30 petang, hari sama, kedua-duanya mendapati laluan yang digali pada sebelah pagi terbabit telah ditimbus beberapa individu yang tidak dikenali mereka,” katanya dalam kenyataan.

Ahmad Adnan berkata kira-kira setengah jam kemudian, kedua-dua beranak itu didatangi tiga lelaki termasuk seorang daripadanya memandu sebuah jengkaut dan mengeluarkan kata-kata kesat kepada mereka.

Beliau berkata bapa mangsa cuba memaklumkan tujuan parit digali namun tetap dimarahi sebelum seorang daripada lelaki terbabit menampar leher mangsa manakala pemandu jengkaut bertindak melanggar Ford Ranger itu hingga mengalami kerosakan.

Katanya, pemandu jengkaut itu kemudian keluar daripada kenderaannya dan mengejar bapa mangsa sambil membawa tukul besi yang menyebabkan ketakutan kepada mangsa dan bapanya.

“Punca kejadian berlaku dipercayai disebabkan laluan yang digali mangsa merupakan laluan utama bagi pekebun sawit untuk ke kawasan tersebut dan mangsa telah mengorek lubang di tengah laluan untuk mengalirkan air agar tidak bertangkung di kebun milik mangsa.

“Disebabkan parit digali di tengah jalan, ia akan menyukarkan pekebun sawit lain yang terpaksa menggunakan laluan jauh untuk pergi kebun,” katanya.

Ahmad Adnan berkata ketiga-tiga lelaki itu yang tidak mempunyai rekod jenayah kini sedang disiasat lanjut mengikut Seksyen 323, 427 dan 506 Kanun Keseksaan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.