
Walaupun ramai akan kecewa kerana tidak dapat bertemu insan tersayang di negeri lain pada hujung minggu, terdapat banyak tajuk berita utama yang positif berkenaan situasi Covid-19 di negara ini sejak seminggu lalu.
Kes pulih kekal atasi kes baharu
Sebanyak 63,722 kes baharu dicatatkan sejak 3 Okt, kurang hampir 20,000 berbanding minggu sebelumnya. Jumlah kluster baharu turut mencatatkan penurunan, iaitu 79 berbanding 100 minggu lalu.
Walaupun jumlah kes tetap tinggi, lebih 98% jangkitan baharu dalam Kategori 1 dan 2, dengan selebihnya Kategori 3, 4 dan 5.
Secara keseluruhan, 98,600 orang telah pulih daripada jangkitan virus.
Setakat tengah hari Jumaat, seramai 301 orang telah terkorban akibat virus tersebut.
Setakat Jumaat, terdapat 125,999 kes aktif dengan 80% menjalani kuarantin di rumah.
Sebanyak 16,481 lagi kes dirawat di pusat kuarantin dan rawatan bersepadu Covid-19, sementara 7,881 berada di hospital, termasuk 792 yang menerima rawatan rapi.
Berikut adalah tajuk-tajuk berita utama mengenai Covid-19 sepanjang minggu ini:
Kes turun bawah paras 10,000
Pada 3 Okt, Kementerian Kesihatan (KKM) melaporkan 9,066 kes, rekod kali pertama sejak 12 Julai kes harian bawah 10,000.
Perjanjian beli ubat Covid-19
Kerajaan telah membuat perjanjian dengan sebuah syarikat farmaseutikal Amerika Syarikat untuk membeli 150,000 pakej rawatan ubat Covid-19 Molnupiravir.
“Kajian yang dijalankan oleh Merck Sharp & Dohme mendapati Molnupiravir mampu menurunkan kadar kemasukan ke wad sebanyak 50% selain turut berkesan terhadap varian virus Covid-19 yang lebih ganas seperti Gamma, Delta dan Mu,” kata Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin.
Ubat ini akan diberikan kepada pesakit tanpa bayaran di fasiliti kesihatan awam.
KJ arah lapor penyebaran berita palsu
Khairy mengarahkan agar laporan polis dibuat terhadap seorang pengguna media sosial kerana menyebarkan berita palsu mengenai vaksin Covid-19. Laporan turut perlu dibuat kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), katanya.
Usaha vaksinasi besar-besaran berakhir
Pada 3 Okt, pusat pemberian vaksin (PPV)i terbesar di Pusat Dagangan Dunia di Kuala Lumpur ditutup, menandakan berakhirnya usaha vaksinasi besar-besaran di negara ini.
PPV awam lain akan ditutup secara berperingkat, walaupun ada yang masih dibuka untuk memberi vaksin kepada remaja dan mereka yang terlepas vaksinasi.
Dos penggalak tak jejas status vaksinasi, kata KJ
Menteri Kesihatan itu berkata, pengenalan dos penggalak tidak mempengaruhi status vaksinasi seseorang walaupun mereka tidak mendapatnya.
Beliau turut menegaskan, dos penggalak dan dos ketiga akan ditawarkan secara sukarela bagi mereka yang memerlukannya, seperti individu dengan penyakit komorbiditi atau penyakit kronik.