Siapa nasihat Dr M isu Batu Puteh ketika Peguam Negara direhat, soal Najib

Siapa nasihat Dr M isu Batu Puteh ketika Peguam Negara direhat, soal Najib

Bekas Perdana Menteri berkata Peguam Negara direhatkan serta-merta selepas PRU14 dan beliau mengaku tidak pernah dirujuk oleh kerajaan PH berhubung kes itu.

Najib Razak berkata, ketika kerajaan PH menulis kepada ICJ pada 28 Mei 2018, untuk tarik diri daripada rayuan pengembalian Pulau Batu Puteh, Peguam Negara dilantik ketika pentadbiran Barisan Nasional, Mohamed Apandi Ali telah direhatkan.
PETALING JAYA:
Bekas Perdana Menteri Najib Razak mempersoalkan siapa yang menasihatkan kerajaan Pakatan Harapan (PH) pimpinan Dr Mahathir Mohamad untuk tidak meneruskan semakan kehakiman Pulau Batu Puteh semasa pentadbiran gabungan itu selama 22 bulan sebelum ini.

Katanya, ketika kerajaan PH menulis kepada Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) pada 28 Mei 2018, selepas pilihan raya umum ke-14 untuk tarik diri daripada rayuan untuk pengembalian Pulau Batu Puteh, Peguam Negara yang dilantik ketika pentadbiran Barisan Nasional (BN), Mohamed Apandi Ali telah direhatkan serta-merta dan tidak pernah dirujuk berhubung kes itu.

“Tommy Thomas pula hanya angkat sumpah untuk menjadi Peguam Negara pada 4 Jun 2018, iaitu selepas kerajaan PH telah tulis surat untuk tarik tuntutan kita.

“Jadi, siapakah dan atas kuasa apa dia yang menasihat Perdana Menteri ke-7 (Mahathir) serta kabinet PH (termasuk PM8 yang menjawat sebagai Menteri KDN) yang bersetuju dengan keputusan tarik tuntutan masa itu?,” katanya di Facebook.

Terdahulu, memetik laporan The Malaysian Insight, Apandi berkata Malaysia masih boleh mengemukakan permohonan kepada ICJ berkenaan semakan dan pentafsiran semula undang-undang pertikaian kedaulatan Pulau Batu Puteh antara Malaysia dan Singapura.

Apandi yang mengajukan semakan terhadap keputusan ICJ pada 2017 berkata, Malaysia masih mempunyai alasan yang kukuh untuk membuat semakan dan pentafsiran semula keputusan berkenaan.

Pada 9 Mei 2003, Malaysia dan Singapura bersetuju merujuk pertikaian berhubung kedaulatan Pulau Batu Puteh dan dua maritim berdekatan, Batuan Tengah dan Tubir Selatan kepada ICJ.

Malaysia dan Singapura terlibat dalam pertikaian undang-undang sejak 1979 ketika Malaysia mengeluarkan peta yang menunjukkan Pulau Batu Puteh berada di perairan wilayah Malaysia.

ICJ bagaimanapun pada 2008 memihak kepada Singapura dalam pertikaian pulau tersebut.

Pada akhir Mei 2018, selepas PRU14, kerajaan PH pimpinan Mahathir ketika itu menarik balik permohonan semakan terhadap keputusan ICJ, yang juga merupakan mahkamah tertinggi Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB).

Kerajaan Singapura dilaporkan “gembira” apabila Malaysia telah memberitahu ICJ pada 28 Mei tahun itu pihaknya akan menarik balik permohonan semakan itu.

Terbaharu Perdana Menteri, Ismail Sabri Yaakob, berkata Jemaah Menteri bersetuju pasukan petugas khas diwujudkan bagi membuat kajian menyeluruh, meneliti dan mencadangkan opsyen yang bersesuaian dengan mendapatkan pandangan daripada pakar undang-undang antarabangsa.

Katanya, usaha itu bertujuan untuk menyemak semula undang-undang mengenai permohonan semakan dan pentafsiran berkenaan kes Pedra Branca/Pulau Batu Puteh.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.