Beri insentif cukai, hidup semula industri pelancongan, kerajaan diberitahu

Beri insentif cukai, hidup semula industri pelancongan, kerajaan diberitahu

Persatuan Hotel Malaysia (MAH) berharap kerajaan akan mempertimbangkan pelbagai insentif termasuk geran dan pinjaman mudah bagi membantu mereka pulih semula.

Kerajaan dicadang memberi galakan kepada sektor pelancongan tempatan dengan menaikkan pelepasan cukai pendapatan individu kepada RM5,000 setahun dan memperkenalkan insentif cukai korporat.
PETALING JAYA:
Persatuan Hotel Malaysia (MAH) berharap kerajaan akan mempertimbangkan pemberian geran, pinjaman mudah dan insentif cukai dalam Belanjawan 2022 yang dilihat penting untuk menghidupkan semula industri pelancongan negara.

Ketua Pegawai Eksekutif MAH Yap Lip Seng berkata, sektor hotel memerlukan lebih banyak bantuan kewangan daripada kerajaan bagi membolehkannya kembali bersaing dan membina semula kekuatannya.

Sebelum ini, Menteri Kewangan Tengku Zafrul Aziz berkata, unjuran terbaru pertumbuhan ekonomi akan diumumkan dalam pembentangan Belanjawan 2022 pada 29 Okt nanti.

Yap berkata, selepas mengalami kerugian teruk akibat pandemik, industri pelancongan terutamanya hotel tidak akan pulih sepenuhnya sehingga pelancongan antarabangsa dibuka semula.

Katanya, pelancongan adalah salah satu sektor yang amat kompetitif dan hotel berdepan dengan kos operasi dan pelaburan semula yang tinggi.

“Sokongan bayaran upah juga mesti diteruskan untuk industri pelancongan bukan hanya untuk mengekalkan tenaga kerja tetapi menggalakkan pengambilan pekerja baharu,” katanya.

Beliau turut mencadangkan kerajaan memberi galakan kepada sektor pelancongan tempatan dengan menaikkan pelepasan cukai pendapatan individu kepada RM5,000 setahun dan memperkenalkan insentif cukai korporat.

Ketika ini, pembayar cukai boleh membuat tuntutan sehingga RM1,000 untuk penginapan dan pelancongan.

Yap berkata, bajet pemasaran juga perlu dinaikkan ke peringkat lebih luas untuk melonjakkan daya saing industri pelancongan di rantau ASEAN.

Katana, dasar dan peraturan harus dilonggarkan untuk pengusaha dan pengguna memandangkan ia boleh membantu industri menampung semula kerugian yang dialami.

“Ini termasuk lesen perniagaan, hiburan, minuman keras dan yuran royalti muzik serta semua yang tidak melibatkan perlindungan dan keselamatan,” katanya.

Yap berkata, kerajaan juga perlu menangani syarat imigresen untuk pasaran utama seperti China dan India.

Katanya, negara terjejas teruk apabila kemasukan pelancong China menunjukkan rentak yang perlahan sejak sebelum pandemik lagi, lebih-lebih lagi kerana negara menerima 160 juta pelancong di seluruh dunia.

“Dengan adanya teknologi, visa ketika ketibaan (VOA) untuk pasaran ini boleh dikawal dan dilaksanakan dengan mudah (untuk menggalakkan mereka melancong),” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.