Suri rumah didenda RM5,000 sebar berita palsu Covid-19

Suri rumah didenda RM5,000 sebar berita palsu Covid-19

Peguam mewakili tertuduh merayu hukuman diringankan kerana anaknya yang berusia tujuh tahun menghidap penyakit buah pinggang.

Nor Sakinah Razelan akan dipenjara lima bulan, jika gagal membayar denda RM5,000. (Gambar Reuters)
KANGAR:
Seorang suri rumah didenda RM5,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini, hari ini, selepas mengaku bersalah atas tuduhan menyebarkan berita palsu berkaitan penularan wabak Covid-19 April lalu.

Nor Sakinah Razelan, 31, membuat pengakuan itu di hadapan hakim Musyiri Peet dan dia perlu menjalani hukuman penjara lima bulan, jika gagal membayar denda berkenaan.

Sakinah didakwa menggunakan aplikasi WhatsApp melalui nombor didaftarkan atas namanya, dengan niat menyebabkan ketakutan atau kebimbangan kepada orang awam dengan menyebarkan berita tidak benar di Lot 8664 Jalan Pauh, Kampung Belukar, Arau pada 10.31 pagi 18 April lalu.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 4(1) Ordinan Darurat (Kuasa-kuasa Perlu) (No 2) 2021 yang memperuntukkan hukuman denda tidak melebihi RM100,000 atau penjara hingga tiga tahun atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Tertuduh juga boleh didenda selanjutnya tidak melebihi RM1,000 bagi setiap hari selama kesalahan itu berterusan selepas sabitan.

Pendakwaan dikendalikan Pengarah Pendakwaan Negeri, Mohd Nordin Ismail yang memohon supaya wanita yang mempunyai tiga anak itu dikenakan hukuman setimpal atas perbuatannya sebagai pengajaran kerana memuat naik berita tidak sahih dan benar mengenai penularan wabak Covid-19.

Peguam Mohd Hapiz Rajali yang mewakili Sakinah merayu hukuman diringankan memandangkan tertuduh tidak bekerja, manakala suaminya hanya seorang buruh, selain menanggung perbelanjaan perubatan anak lelakinya berusia tujuh tahun yang menghidap penyakit buah pinggang.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.