Lelaki maut, tiga cedera kereta terlanggar gajah

Lelaki maut, tiga cedera kereta terlanggar gajah

Pihak bomba menerima panggilan berhubung kejadian pada 9.59 malam tadi sebelum lapan anggota bersama sebuah jentera dikerah ke lokasi kejadian.

Anggota bomba sedang mengeluarkan seorang mangsa yang tersepit di tempat duduk pemandu dalam kemalangan di Jalan Pinang, Kluang Johor malam tadi. (Gambar Bomba)
PETALING JAYA:
Seorang lelaki berusia 37 tahun maut, manakala tiga lagi individu cedera selepas kereta dinaiki mereka melanggar seekor gajah sebelum terbabas di Jalan Pinang menghala ke Bukit Tongkat di Kluang, Johor, malam tadi.

Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat Renggam Abd Rahim Razali berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian pada 9.59 malam dan lapan anggota bersama sebuah jentera dikerah ke lokasi kejadian.

“Sebaik tiba, anggota mendapati kemalangan membabitkan Honda City yang dinaiki empat mangsa yang mana tiga orang dikeluarkan orang awam dan sudah dihantar ke hospital.

“Pasukan bertindak mengeluarkan seorang mangsa yang tersepit di tempat duduk pemandu. Mangsa disahkan meninggal dunia oleh petugas kesihatan di lokasi,” katanya menurut laporan Harian Metro.

Rahim berkata, mayat diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut dan operasi ditamatkan sepenuhnya pada 10.44 malam tadi.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.