
PETALING JAYA: Seorang jurukimpal mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kota Bharu atas pertuduhan merogol remaja perempuan yang juga orang kurang upaya (OKU), Jun tahun lalu.
Tertuduh, Mohd Zul Amri Mohamed, 30, membuat pengakuan tersebut selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa di hadapan hakim Ahmad Bazli Bahruddin.
Mengikut pertuduhan, dia didakwa merogol remaja perempuan berusia 18 tahun di sebuah rumah di Gunong dekat Bachok, jam 4.45 petang, pada 27 Jun 2020, menurut laporan Harian Metro.
Berikutan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 376 (1) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan disebat jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Fariz Abdul Hamid manakala tertuduh tidak diwakili peguam.