Mahkamah Tinggi benar pendakwaan cabar kredibiliti Rosmah

Mahkamah Tinggi benar pendakwaan cabar kredibiliti Rosmah

Ia melibatkan keterangan Rosmah Mansor dalam perbicaraan rasuah dengan pernyataan direkodkan SPRM ketika siasatan pengubahan wang haram terhadapnya.

Rosmah Mansor di Kompleks Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini. Keterangannya dalam perbicaraan rasuah terhadapnya boleh diketepikan jika didapati ada percanggahan material.
KUALA LUMPUR:
Mahkamah Tinggi membenarkan permohonan pihak pendakwaan untuk mencabar kredibiliti keterangan Rosmah Mansor yang dilihat bercanggah.

Permohonan pendakwaan itu melibatkan keterangan Rosmah dalam perbicaraan rasuah berbanding pernyataan direkodkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) ketika siasatan pengubahan wang haram terhadapnya.

Hakim Mohamed Zaini Mazlan turut membenarkan pendakwaan menyoal balas Rosmah berkaitan karektornya.

Bagaimanapun Zaini berkata, soalan yang diajukan tidak boleh berkaitan dengan fakta tuduhan bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Keganasan 2001 (AMLA) kerana perbicaraan itu masih belum bermula.

Perbicaraan kes itu yang juga dijadualkan di hadapan Zaini, sepatutnya bermula selepas kes rasuah diselesaikan.

Bagi tuduhan rasuah, Rosmah didakwa meminta RM187.5 juta daripada bekas Pengarah Urusan Jepak Holdings Sdn Bhd, Saidi Abang Samsudin, menerusi Rizal Mansor, bagi membantu syarikat itu mendapatkan projek solar sekolah di luar bandar Sarawak.

Rosmah turut didakwa menerima rasuah berjumlah RM5 juta daripada Saidi menerusi Rizal di Seri Perdana, Putrajaya, pada 20 Dis 2016.

Selain itu, Rosmah didakwa menerima RM1.5 juta lagi daripada Saidi di Jalan Langgak Duta, Kuala Lumpur, pada 7 Sept 2017.

Isteri bekas Perdana Menteri Najib Razak itu turut berdepan 12 tuduhan pengubahan wang haram berjumlah RM7 juta dan lima tuduhan gagal mengisytiharkan pendapatannya kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).

Pendakwaan memohon mencabar kredibiliti Rosmah susulan percanggahan keterangannya di mahkamah dan apa dimaklumkan kepada penyiasat SPRM ketika siasatan melibatkan tuduhan AMLA.

Sekiranya mahkamah mendapati wujud percanggahan material, keterangannya di mahkamah dalam kes rasuah ini mungkin boleh diketepikan.

Pendakwaan turut membuat permohonan untuk menyoal balas karektor Rosmah selepas pihak pembelaan menyerang karektor saksi-saksi pendakwaan seperti bekas Menteri Pendidikan Mahdzir Khalid, bekas Ketua Setiausaha Pendidikan Madinah Mohamad serta Alias Ahmad, selain Pengarah Urusan Jepak Holdings Sdn Bhd Saidi Abang Samsudin dan bekas pembantu Rosmah, Rizal Mansor.

Soal balas terhadap Rosmah akan bersambung pada 8 Dis.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.