
Bekas Timbalan Ketua Setiausaha (TKSU) (Dasar dan Kawalan) Kementerian Dalam Negeri (KDN), Suriani Ahmad berkata, ia berdasarkan catatan minit oleh Najib pada surat bertarikh 23 Mei 2013 yang dihantar kepada Zahid menyatakan “projek ini perlu diteruskan”.
Semasa disoal peguam Hamidi Mohd Noh yang mewakili bekas Timbalan Perdana Menteri itu mengenai siapa yang memberi arahan terbabit berdasarkan catatan minit tersebut, Suriani berkata: “Arahan Perdana Menteri.”
Ketika dirujuk minit lain bertarikh 20 Jan 2014 pada surat berkenaan oleh peguam itu, Suriani berkata: “Minit itu menyatakan ‘YB Datuk Seri Zahid, Sila Bantu Dalam Hal ini. Kontrak ini perlu diteruskan’.”
Hamidi: Ia ayat Perdana Menteri kepada Timbalan Perdana Menteri?
Suriani: Betul.
Suriani turut bersetuju dengan Hamidi, beliau juga akan melaksanakan arahan sekiranya diarahkan Ketuanya, Alwi Ibrahim yang merupakan Ketua Setiausaha KDN ketika itu.
Sebelum ini, saksi pendakwaan kedua, Azman Azra Abdul Rahman @ Md Salleh, iaitu bekas Ketua Penolong Setiausaha di Bahagian Hal Ehwal Imigresen KDN, memberitahu mahkamah UKSB ada menghantar beberapa surat kepada Najib bagi pertimbangan mengekalkan syarikat tersebut sebagai pengendali tunggal pengurusan visa ke Malaysia di China.
Ketika ditanya Timbalan Pendakwa Raya, Gan Peng Kun semasa pemeriksaan semula mengenai catatan minit yang diterima KDN daripada Zahid berhubung tempoh lanjutan kontrak VLN, saksi pendakwaan keempat itu menjelaskan ia dibuat dalam keadaan tergesa-gesa.
“Pendirian kementerian adalah sekiranya bersetuju untuk buat lanjutan itu, ia dibuat dalam keadaan tergesa-gesa kerana kontrak masih berjalan dan ada banyak masa lagi sebelum ia tamat. Sebab itu saya rasa perlu ada masa dan ruang untuk buat penilaian terlebih dahulu.
“Kontrak belum tamat lagi. Ada tiga tahun. Satu jangka masa panjang. Sepatutnya tiga tahun lagi diberi masa membuat penilaian (lanjutan kontrak). Itu pendirian kementerian,” katanya.
Sementara itu, saksi pendakwaan kelima yang juga bekas Penolong Setiausaha Bahagian Kabinet, Perlembagaan dan Perhubungan Antara Kerajaan di Jabatan Perdana Menteri, Sheeba Kunhmon, 48, berkata Zahid menerima gaji serta elaun berjumlah RM44,383.15 setiap bulan mulai 2015 hingga 2018 ketika menjadi Timbalan Perdana Menteri.
“Semasa memegang jawatan itu pada 2015 hingga 2018, Zahid menerima RM18,168.15 sebulan, manakala elaun RM26,215.
“Sebagai Menteri Persekutuan (Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Menteri Pertahanan dan Menteri Dalam Negeri) antara 2008 dan 2015 adalah RM14,907.20, manakala elaun yang diperoleh sebanyak RM24,320,” katanya ketika membaca penyataan saksinya semasa pemeriksaan utama Timbalan Pendakwa Raya Zander Lim Wai Keong.
Ketika disoal Lim mengenai sumber gaji yang diterima Zahid, Sheeba menjawab: “Dari kerajaan Malaysia.”
Perbicaraan di hadapan Hakim Mohd Yazid Mustafa bersambung 20 Dis depan.