KKM tingkat penguatkuasaan larangan merokok

KKM tingkat penguatkuasaan larangan merokok

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin berkata, sebanyak 3,419 notis kesalahan di tempat makan dikeluarkan sepanjang tahun ini.

Khairy Jamaluddin berkata, aktiviti merokok mengundang risiko komplikasi lebih teruk jika dijangkiti Covid-19.
PETALING JAYA:
Kerajaan meningkatkan penguatkuasaan larangan merokok di kedai makanan, khasnya selepas kebenaran makan dalam premis.

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin berkata, larangan merokok di kedai makan yang dilaksanakan sejak 2018 sangat penting untuk memastikan negara bersedia beralih ke fasa endemik, selepas mengambil kira tabiat itu mengundang risiko komplikasi lebih teruk jika dijangkiti Covid-19.

Katanya, aktiviti penguatkuasaan larangan merokok sudah dipertingkatkan di seluruh negara dengan 3,419 notis kesalahan di tempat makan dikeluarkan sepanjang tahun ini.

“Lima negeri dengan pengeluaran notis kesalahan paling tinggi adalah Terengganu dengan 652 notis, Pahang (601), Sarawak (365), Perak (356) dan Kuala Lumpur (303),” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata, operasi mega dijalankan pada 23 Okt lalu membabitkan 70 anggota daripada Bahagian Kawalan Penyakit Kementerian Kesihatan dan Jabatan Kesihatan Kuala Lumpur serta Putrajaya.

Susulan itu, 15 notis dikeluarkan membabitkan kesalahan merokok di kedai makan, lima notis untuk pemilik premis yang gagal mempamerkan tanda larangan merokok serta memastikan tiada orang merokok dalam premis serta 41 lagi kerana merokok dalam pusat beli-belah.

Operasi sama turut diadakan di Johor, dengan 23 pelanggan dan tiga pemilik premis.

Beliau berkata, larangan merokok bukan bertujuan menghukum perokok, tetapi bagi mengelakkan komplikasi akibat tabiat merokok kepada golongan perokok serta perokok pasif, iaitu mereka yang berada di sekeliling.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.