
Setiausaha Agung Perikatan Nasional (PN) itu berkata, apa yang dilaporkan media sebelum ini terhadap kenyataan Tuan Ibrahim itu adalah kurang tepat.
“Saya ingat anda (wartawan) dapat maklumat itu salah. Apa dia (Tuan Ibrahim) kata itu macam melawak sahajakan.
“Dia (Tuan Ibrahim) kata kalau dah semua orang nakkan dia (PAS), pakai baju dialah. Itu sahaja cerita dia,” katanya pada sidang media di Desaru Coast, Kota Tinggi.
Terdahulu, Tuan Ibrahim hari ini bertindak mencadangkan barisan parti pemerintah menggunakan lambang PAS pada PRN Melaka nanti, memandangkan dua parti yang berbalah, Umno dan Bersatu, masing-masing mahu bersama parti Islam itu.
Beliau yang juga Timbalan Presiden PAS mencadangkan perkara itu pada satu mesyuarat khas pemimpin tiga parti semalam.
“Malam tadi kita adakan mesyuarat dengan tiga parti, PAS-Umno-Bersatu. Nampaknya PAS dikehendaki oleh semua parti – Umno buat keputusan dia setuju bersama dengan PAS dan pada waktu sama Bersatu pun nak bersama kita.
“Lalu saya cadangkan guna saja lambang PAS,” katanya ketika merasmikan Muktamar Pemuda PAS Malaysia ke-62 di Port Dickson, Negeri Sembilan.
Semalam, Tuan Ibrahim dilaporkan berkata, seeloknya parti itu bertanding menggunakan logo sendiri pada PRN Melaka bulan depan.
Beliau berkata, ini kerana semua parti bersetuju bekerjasama dengan PAS.
“Oleh kerana semua parti bersetuju bekerjasama dengan PAS, elok kalau kita gunakan satu logo, iaitu logo PAS dalam PRN Melaka nanti. Fikir-fikirkan,” katanya di Facebook.