
Hakim Ahmad Kamal Md Shahid, berkata sekiranya mahkamah membenarkan keputusan sedemikian, ia seperti mempersoalkan kebijaksanaan dasar dilaksanakan oleh Kabinet.
“Ia adalah berhubung perkara tidak boleh diadili,” kata Kamal dalam penghakiman 25 muka surat menolak permohonan semakan kehakiman dilakukan oleh waris dan dua pertubuhan membatalkan keputusan bagi pelajar sekolah vernakular Cina dan Tamil untuk mempelajari seni khat, atau kaligrafi Jawi.
Kamal sebelum ini membuat ketetapan lisan, pada April.
Bekas Presiden Persatuan Pelajar Sekolah Cina, Tan Kim Sen @ Tan Boon Tak; Pengerusi Persatuan Hindu Agamam Ani Malaysia, D Ravi dan seorang wanita, R Visa Letchumy, sebelum ini memfailkan rayuan di Mahkamah Rayuan.
Trio berkenaan yang memfailkan permohonan pada Mei, tahun lalu, berkata keputusan memperkenal pengajaran khat untuk pelajar Tahun Empat, di sekolah vernakular dilaksanakan oleh kerajaan Pakatan Harapan (PH), pada Januari 2020.
Susulan kritikan daripada kumpulan pendidik, kerajaan kemudian mengumumkan pembelajaran Jawi menjadi subjek pilihan dan tidak akan dinilai dalam peperiksaan.
Kamal berkata, pemohon melakukan kesilapan memfailkan tindakan mencabar berhubung pengenalan pembelajaran khat, sebaliknya ia perlu mencabar pengenalan penulisan Jawi, ketika pembelajaran Bahasa Melayu.
Beliau ketika mengulas lanjut, berkata pemohon secara salah menamakan Kementerian Pendidikan sebagai pihak yang terbabit, yang sepatutnya ia perlu merujuk kepada Kabinet.
“Kabinet adalah entiti undang-undang dan tindakan boleh difailkan terhadap mereka,” katanya.
Katanya, pemohon memfailkan kebenaran untuk semakan kehakiman “di luar” tempoh had tiga bulan, yang menjadi peraturan wajib dipatuhi.
“Mereka sepatutnya memfailkan kebenaran permohonan dalam tempoh tiga bulan bermula 14 Ogos 2019. Justeru, mahkamah mempunyai kuasa melalui perundangan untuk tidak mendengar permohonan pemohon,” katanya.