
Memorandum persefaham (MoU) antara kedua-dua agensi juga merupakan usaha untuk membangunkan modal insan kompetitif yang mampu menyumbang kepada pertumbuhan tenaga kerja dalam industri dan ekonomi negara.
Menteri Pembangunan Luar Bandar, Mahdzir Khalid berkata, Talent Corporation Malaysia Berhad (TalentCorp) akan bertindak sebagai penghubung antara MARA dan pihak berkepentingan yang terdapat dalam jaringan mereka.
“TalentCorp akan menawarkan inisiatif sedia ada seperti melaksanakan program Nurturing EXpert Talent (NEXT), Structured Internship Programme (SIP), Talent Mobility, Semester Break Programme (SBP), Young Employable Student (YES!) dan #KisahSiswa kepada graduan di bawah MARA.
“Kolaborasi ini akan memberi penumpuan kepada beberapa skop utama seperti bekerjasama dan penghubung di antara TalentCorp dengan pelajar dan jaringan syarikat dalam MARA,” katanya pada sidang media majlis menandatangani MoU antara MARA Corporation dan Kumpulan Syarikat TalentCorp di sini hari ini.
Mahdzir berkata, pihaknya berharap dengan kerjasama itu MARA melahirkan purata 64,000 graduan setahun dan mampu memenuhi tuntutan industri serta mempunyai daya kebolehpasaran yang tinggi di alam pekerjaan.
Sementara itu, Menteri Sumber Manusia, M Saravanan yang turut hadir pada majlis itu berkata, MARACorp adalah rakan strategik yang ideal untuk menyalurkan TalentCorp akses kepada ekosistem lengkap penawaran dan permintaan bakat MARA.
Justeru, beliau percaya komitmen MARA dalam menghasilkan modal insan bumiputera global akan menjadi pemangkin kepada kerjasama strategik, dengan memberikan tumpuan kepada bidang kritikal.
“Bukan sahaja dari segi memperkasakan saluran bakat bagi seluruh ekosistem MARA, tetapi ia turut mampu meningkatkan agenda bakat nasional terutamanya dalam bidang pekerjaan graduan.
“Saya juga percaya kerjasama yang terjalin antara TalentCorp dan MARACorp ini akan membawa kepada perubahan positif demi masa depan warga pekerja Malaysia,” tambahnya.