BN janji sedia peruntukan semua 28 ADUN Melaka, kata Tok Mat

BN janji sedia peruntukan semua 28 ADUN Melaka, kata Tok Mat

Timbalan Pengerusi BN berkata ia termasuk cadangan meminda Perlembagaan negeri bagi tujuan melantik lima ADUN tambahan.

Mohamad Hasan memaklumkan mandat perlu diberikan kepada rakyat Melaka untuk memilih kerajaan yang akan membangun dan memakmurkan negeri bersejarah itu.
AYER KEROH:
Barisan Nasional (BN) berjanji akan menyediakan peruntukan kepada semua 28 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) termasuk bukan kerajaan sebagai langkah memakmurkan seluruh rakyat tanpa mengira fahaman politik.

Timbalan Pengerusi BN, Mohamad Hasan berkata, kematangan politik itu turut dimanifestasikan menerusi cadangan meminda perlembagaan negeri bagi tujuan melantik lima ADUN tambahan termasuk daripada kalangan belia dan NGO.

Beliau berkata, pindaan itu adalah bagi membuka ruang dan perspektif persidangan DUN di luar ruang lingkup politik semata-mata.

Katanya, setiap wakil rakyat yang dipilih bekerja untuk rakyat di segenap pelosok negeri tanpa mengira kawasan bandar, kampung mahupun di hujung sempadan negeri.

“Setelah sesebuah negara mahupun negeri stabil dari aspek politiknya, barulah kita dapat memberi keyakinan untuk membawa pelabur masuk dan mencapai kemajuan yang dikehendaki.

“Barisan Nasional tidak mengharapkan populariti semata-mata dan tidak juga dilihat menjadi hero kepada rakyat,” katanya ketika membentangkan manifesto BN untuk pilihan raya negeri (PRN) Melaka hari ini.

Katanya, bagi memastikan kestabilan politik dikekalkan, mandat perlu diberikan kepada rakyat Melaka untuk memilih kerajaan yang akan bersama membangun dan memakmurkan negeri bersejarah itu.

“BN juga tidak akan sesekali mengiktiraf pengkhianat atau menerima ‘katak berprinsip’ hanya semata-mata untuk memancing undi dan meraih kemenangan,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.