Bomba berjaya pujuk lelaki cuba terjun dari menara elektrik

Bomba berjaya pujuk lelaki cuba terjun dari menara elektrik

Dalam kejadian kira-kira jam 12 tengah hari itu, lelaki terbabit turun sendiri dari menara berkenaan selepas dipujuk sebelum diserahkan kepada polis.

Seorang lelaki yang cuba terjun dari sebuah menara elektrik di Sandakan turun selepas berjaya dipujuk oleh pasukan bomba. (Gambar Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia)
SANDAKAN:
Seorang lelaki yang dipercayai cuba terjun dari sebuah menara elektrik di Jalan Kampung Melayu di sini, terselamat selepas berjaya dipujuk oleh pasukan bomba.

Dalam kejadian kira-kira jam 12 tengah hari itu, lelaki terbabit dikatakan turun dari menara berkenaan menggunakan tangga selepas beberapa anggota bomba yang naik ke menara itu untuk memujuknya.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 12.12 tengah hari.

Katanya, susulan laporan itu, sepasukan bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sandakan dikerah ke lokasi kejadian.

“Sebaik tiba di lokasi kejadian, seorang lelaki berada di bahagian atas menara elektrik dipercayai cuba untuk membunuh diri.

“Pasukan bomba kemudian memujuknya sebelum lelaki itu dengan sendiri turun melalui tangga,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Menurutnya, lelaki itu kemudian diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya.

“Tiada kecederaan dilaporkan dan mangsa dalam keadaan selamat. Operasi tamat jam 12.50 tengah hari,” katanya.

Terdahulu semalam, seorang lelaki berusia lingkungan 30-an juga berjaya dipujuk oleh pasukan bomba ketika cuba untuk terjun dari sebuah pencawang telekomunikasi di Kampung Cina, di Semporna.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.