KKM nafi bilik gerakan calon PN Telok Mas ditutup kerana Covid

KKM nafi bilik gerakan calon PN Telok Mas ditutup kerana Covid

Dalam hantaran di laman rasmi di Facebook, KKM menyatakan kenyataan akhbar yang diedar berhubung penutupan premis itu adalah palsu dan tidak pernah dikeluarkan pihaknya.

Kementerian Kesihatan (KKM) menafikan mengarahkan penutupan bilik gerakan Perikatan Nasional (PN) bagi Dewan Undangan Negeri Telok Mas kerana didakwa berlaku pengesanan kes Covid-19. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Kementerian Kesihatan (KKM) menafikan mengarahkan penutupan bilik gerakan Perikatan Nasional (PN) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Telok Mas yang ditandingi oleh Pengerusi PN Melaka Rafiq Naizamohideen susulan pengesanan kes Covid-19.

Dalam hantaran di laman rasmi di Facebook, KKM berkata, kenyataan akhbar yang diedar berhubung penutupan premis itu adalah palsu dan tidak pernah dikeluarkan pihaknya.

Terdahulu, timbul laporan bahawa KKM mengeluarkan notis penutupan premis ke atas bilik gerakan PN DUN Telok Mas, berkuat kuasa hari ini hingga 26 Nov.

Ia termasuk dakwaan kompaun dikeluarkan ke atas PN kerana gagal menyediakan alat pengesan suhu di premis berkenaan.

Dalam pada itu, KKM juga menafikan kompaun RM10,000 dikenakan terhadap PN kerana melanggar prosedur operasi standard (SOP).

Kawasan DUN Telok Mas menyaksikan pertandingan empat penjuru membabitkan Rafiq yang akan ditentang calon Pakatan Harapan (PH) yang juga Setiausaha Amanah Melaka Ashraf Mukhlis Minghat; Abdul Razak Abdul Rahman (Barisan Nasional) dan Muhammad Ariff Adly Mohammad (Bebas).

Rafiq sebelum ini merupakan Ahli DUN Paya Rumput setelah memenanginya dengan majoriti 4,259 undi.

Pada pilihan raya umum Ke-14 lalu, kerusi DUN Telok Mas dimenangi Noor Effandi Ahmad (Bersatu) dengan majoriti 1,288 undi.

Pilihan raya negeri (PRN) Melaka akan berlangsung pada 20 Nov, manakala pengundian awal pada 16 Nov.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.