
Bekas Perdana Menteri itu juga berkata terdapat angin perubahan yang melanda negara yang tidak boleh dipandang rendah, sambil menambah bahawa Melaka mungkin menjadi lokasi perubahan itu.
“Ada sebilangan yang mengatakan bahawa peratusan keluar mengundi Cina mungkin rendah dan mereka adalah penyokong kuat DAP, saya fikir mereka adalah orang yang sangat pragmatik.
“Kami harap mereka akan mempertimbangkan calon-calon yang telah kami letakkan daripada Gerakan,” katanya ketika ditanya sama ada beliau yakin Gerakan boleh memenangi undi masyarakat Cina.
Gerakan bertanding untuk lima kerusi pada PRN Melaka iaitu di Asahan, Ayer Keroh, Kesidang, Kota Laksamana dan Bandar Hilir. Penyandang di empat kerusi ini adalah daripada DAP.
Muhyiddin juga menepis dakwaan veteran DAP Lim Kit Siang awal hari ini bahawa terdapat “bantahan keras” dalam Bersatu yang menamakan Ahli Parlimen Masjid Tanah Mas Ermieyati Samsudin sebagai calon PN untuk menjadi Ketua Menteri jika ia menang kerusi terbanyak.
Presiden Bersatu itu berkata bukan urusan Lim untuk campur tangan dalam hal partinya, sambil menambah bahawa beliau akan menguruskan hal itu sendiri.
“Saya tidak pernah masuk campur dalam urusan DAP. Saya tidak bertanya apa-apa pun mengenainya,” katanya selepas bertemu masyarakat Cina di sini petang tadi.
Terdahulu, Lim menyifatkan ketidakupayaan Muhyiddin untuk mengumumkan Mas Ermieyati sebagai calon Ketua Menteri PN sebagai bom jangka kerana dakwaan terdapat tentangan dalam Bersatu.
Mas Ermieyati, yang juga Timbalan Menteri Undang-undang, menang kerusi Parlimen Masjid Tanah atas tiket Barisan Nasional pada 2018.