Muhyiddin hanya ulang cerita basi, kata Tok Mat

Muhyiddin hanya ulang cerita basi, kata Tok Mat

Timbalan Pengerusi Barisan Nasional (BN) Mohamad Hasan mempersoalkan apakah kaitan antara perbicaraan kes rasuah pemimpin Umno dengan PRN Melaka.

Mohamad Hasan berkata, Muhyiddin Yassin bekerjasama dengan DAP, PKR dan Amanah untuk menjatuhkan kerajaan yang stabil di Melaka dalam PRU14.
AYER KEROH:
Pemimpin Barisan Nasional (BN) berusaha mengetepikan ancaman daripada Bersatu dalam pilihan raya negeri (PRN) Melaka kerana yakin rakyat di negeri itu bijak menilai kesilapan yang dilakukan oleh Perikatan Nasional (PN).

Dengan menjadikan Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin sebagai sasaran, Timbalan Pengerusi Barisan Nasional (BN) Mohamad Hasan mendakwa bekas Perdana Menteri itu bekerjasama dengan DAP, PKR dan Amanah untuk menjatuhkan kerajaan negeri yang stabil dalam pilihan raya umum lalu.

Katanya, beliau yakin pengundi Melaka tidak lupa bahawa pentadbiran Pakatan Harapan (PH) yang turut disertai Bersatu tidak melakukan apa-apa di Melaka sepanjang 22 bulan memegang kuasa, selain menambah hutang negara dan membatalkan Projek Keretapi Berkelajuan Tinggi Kuala Lumpur-Singapura (HSR).

Jelasnya, Muhyiddin tidak meneruskan semula projek itu ketika menjadi Perdana Menteri.

Mengulas mengenai kritikan Muhyiddin terhadap BN, termasuk sering membangkitkan isu 1MDB dan perbicaraan kes rasuah pemimpin Umno, Mohamad berkata, ia hanyalah cerita “basi”.

“Apa kena mengenanya PRN Melaka dengan 1MDB?” katanya.

“Mereka sebenarnya sudah tidak ada modal lagi untuk mengutuk Umno dan asyik benda sama sahaja. Rakyat sudah muak mendengar cerita sama sejak pilihan raya umum Ke-14 (PRU14) hingga ke hari ini.”

Katanya, PN juga dilihat tidak dapat membentuk satu kesepakatan seperti yang dilihat dalam kegagalan mereka menamakan calon Ketua Menteri.

“Kita tinggal lagi tiga hari sebelum hari pengundian dan sampai hari ini PN tidak boleh kemukakan calon Ketua Menteri. Bagaimana kamu mahu bentuk kerajaan?”

Menurutnya, BN mengemukakan “manifesto yang praktikal” kepada pengundi dan Sulaiman Md Ali sebagai calon Ketua Menteri “yang diterima semua” ketika menyandang jawatan itu.

Mohamad berkata, rakyat sudah muak dengan politik “kutuk mengutuk.”

“Mereka mahu dengar apa yang kita boleh buat dan rancang untuk lakukan sekiranya kita berkuasa,” kata beliau.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.