Dewan Rakyat kecoh Najib mohon rumah, tanah

Dewan Rakyat kecoh Najib mohon rumah, tanah

Menteri Kewangan berkata permohonan Najib Razak dibuat selepas Bajet 2022 dibentangkan.

Ahli Parlimen berperang mulut di Dewan Rakyat gara-gara isu permohonan Najib Razak untuk mendapatkan rumah yang didakwa bernilai RM100 juta. (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR:
Menteri Kewangan Tengku Zafrul Abdul Aziz mengesahkan kerajaan menerima permohonan Najib Razak untuk mendapatkan rumah dan tanah mengikut peruntukan ditetapkan untuk bekas Perdana Menteri.

Beliau berkata, permohonan itu akan dipertimbangan untuk dimasukkan dalam bajet tambahan jika dana mencukupi.

Kenyataan Tengku Zafrul itu mencetuskan perang mulut di Dewan Rakyat.  Ahli Parlimen pembangkang tidak berpuas hati dengan pertimbangan kerajaan bagi permohonan Najib itu.

Bekas Perdana Menteri dan Ahli Parlimen Langkawi, Dr Mahathir Mohamad, mendakwa rumah dan tanah itu bernilai RM100 juta dan diberikan kepada Najib sebagai “hadiah.”

“Kami ingin tahu sumbangan beliau (Najib). Dia seorang banduan…dan kerajaan mahu balas budi.

“Wang yang dicuri diberikan semula. Inilah kerajaan baharu. Hadiah itu harus dijelaskan,” kata Mahathir.

Kenyataan beliau menyebabkan beberapa Ahli Parlimen pembangkang turut mendesak Tengku Zafrul memberikan penjelasan lanjut mengenai perkara itu.

Tengku Zafrul berkata, permohonan oleh Najib itu dibuat selepas Bajet 2022 dibentangkan.

“Jika terdapat sebarang dana tambahan, ia akan ditambah bawah peruntukan tambahan,” katanya di Dewan Rakyat.

Beliau berkata, permohonan itu bawah Jabatan Perdana Menteri dan sebarang pertanyaan akan dijawab oleh JPM.

Dalam pada itu, Speaker Dewan Rakyat, Azhar Harun meminta Ahli Parlimen pembangkang tidak membangkitkan isu permohonan Najib kerana berpandangan Tengku Zafrul telah menjelaskan bahawa ia tidak termasuk dalam Bajet 2022.

“Menteri (Tengku Zafrul) sudah berulang kali menjawab perkara itu yang mengatakan permohonan Najib dibuat selepas pembentangan Bajet 2022.

“Ini bukan forumnya. Menteri tolong teruskan menjawab Perbahasan Bajet 2022,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.