PN lewat umum calon KM kerana tak mahu dilihat bertelagah kejar jawatan, kata Wan Saiful

PN lewat umum calon KM kerana tak mahu dilihat bertelagah kejar jawatan, kata Wan Saiful

Ketua Penerangan Bersatu berkata, umum calon KM dilakukan saat akhir juga tepat apabila banyak pihak rasa teruja dengan individu yang mahu diangkat menerajui Melaka.

Wan Saiful Wan Jan berkata, PN perlu memberi contoh kepada rakyat bahawa parti itu tidak sepertimana parti lain yang bergaduh merebut jawatan sehingga jatuhnya kerajaan negeri sebelum ini. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Keputusan Perikatan Nasional (PN) mengumumkan calon Ketua Menteri dalam pilihan raya negeri (PRN) Melaka lewat hanya dua hari sebelum hari mengundi Sabtu ini kerana tidak mahu dilihat sebagai parti yang bertelagah dengan mengejar jawatan semata-mata.

Ketua Penerangan Bersatu, Wan Saiful Wan Jan yang turut terlibat secara langsung dalam pemilihan calon Ketua Menteri berkata, PN perlu memberi contoh kepada rakyat bahawa parti itu tidak sepertimana parti lain yang bergaduh merebut jawatan sehingga jatuhnya kerajaan negeri sebelum ini.

“Kita juga tidak mahu dilihat parti yang dilihat bertelagah, berlebih-lebih mengenai jawatan Ketua Menteri. Sekali lagi saya nak ingatkan berlakunya PRN Melaka ini disebabkan ada orang bergaduh nak dapat jawatan Ketua Menteri.

“Kita bukan daripada golongan tersebut dan kita tidak mengulang sikap serta perangai tersebut. Kita susun strategi untuk buat pengumuman hari ini,” katanya ketika sidang media bersama calon Ketua Menteri PN, Mas Ermieyati Samsudin malam ini.

Jelas Wan Saiful langkah PN mengumumkan calon Ketua Menteri saat akhir juga tepat apabila banyak pihak melahirkan rasa teruja dengan individu yang mahu diangkat menerajui Melaka.

Wan Saiful turut memaklumkan fokus utama PN adalah memastikan semua 28 calon yang dipertaruhkan dikenali rakyat, bukannya hanya tertumpu kepada satu dua individu sahaja.

“Dari awal lagi fokus kita kempen adalah untuk pastikan semua calon kita dapat diperkenalkan, kita tak mahu ada fokus kepada seorang dua orang sahaja, jadi kita nak semua orang kenal calon kita, di mana calon kita tak ada rekod salah laku, rasuah dan sebagainya, kita nak semua kenal,”katanya.

Petang tadi PN menamakan Mas Ermieyati sebagai calon tunggal Ketua Menteri jika gabungan itu menang dalam PRN Melaka Sabtu ini.

Pengumuman itu dibuat oleh Pengerusi PN Muhyiddin Yassin, hanya dua hari sebelum hari mengundi Sabtu ini berbanding Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) yang sudah pun menamakan calon Ketua Menteri masing-masing lebih awal.

Dengan pengumumkan itu, PN satu-satu gabungan yang mempertaruhkan wanita sebagai calon Ketua Menteri Melaka baharu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.