
Pengarah Komunikasinya, Khalid Samad berkata sekiranya sentimen berkenaan diambil kira, pastinya calon Bersatu mewakili Perikatan Nasional (PN) juga rata-rata ditolak pengundi.
“Kalau orang benci sangat dekat katak kenapa Bersatu yang dipenuhi katak dapat undi?
“Macam Mas Ermieyati (calon PN di Tanjung Bidara) walaupun dia kalah tetapi dapat undi tinggi juga, padahal dia katak,” kata Khalid.
Mas Ermieyati Samsudin adalah bekas pemimpin Umno yang kemudian ‘melompat’ menyertai Bersatu.
Pada PRN Melaka, beliau ditampilkan sebagai calon Ketua Menteri PN dan hampir memenangi Tanjung Bidara.
Beliau memperolehi 3,195 undi berbanding pemenang Ab Rauf Yusoh (BN) yang meraih 3,559 undi.
Khalid berkata, kekalahan teruk PH semalam harus dilihat dalam konteks betul dan bukan atas sentimen PH memberi ruang kepada dua bekas pemimpin Umno.
“Orang kata dua bekas Umno itu punca kita kalah…itu tidak betul. Dulu (pilihan raya umum ke-14) kita menang besar sebab Bersatu bersama kita, itu harus diakui,” katanya kepada FMT.
Khalid merujuk kepada Idris Haron dan Noor Azman Hassan yang dipecat daripada Umno tetapi diangkat oleh PH sebagai calon pada PRN Melaka.
Bagaimanapun, Idris kalah di kerusi Asahan manakala Noor Azman tewas di Pantai Kundor.
Khalid berkata, kekalahan di Melaka memberi isyarat jelas kepada PH mengenai keperluan membentuk gabungan lebih besar, merangkumi Pejuang, Muda, dan Warisan, selain PKR, DAP, Amanah, dan Upko.
“Amanah sudah lama laungkan hal ini. PH tidak boleh kata kita dah cukup kuat dan tidak mahu orang itu dan orang ini.
“Kita kena akui parti-parti itu mampu beri undi kepada calon PH. Kita kena usahakannya dan tunjuk kita mampu bersama menentang kleptokrasi,” kata Ahli Parlimen Shah Alam itu.
Khalid turut membayangkan Anwar Ibrahim masih diperlukan untuk menerajui PH kerana beliau adalah pilihan terbaik yang ada.
Ditanya sama ada PH perlu merombak kepimpinan tertingginya susulan kekalahan semalam, Khalid berkata ringkas: “Jika ada yang lebih baik, bincanglah,” tanpa mengulas lanjut.
Bagaimanapun, Ketua Amanah Bukit Bintang, Ahmad Asri Talib mahu Anwar berundur sebagai pengerusi PH susulan kekalahan teruk gabungan itu di Melaka.
“Perlu kaji semula jawatan pengerusi PH dan biar diterajui oleh orang yang betul-betul mampu bawa mesej PH pada masa depan,” katanya.
Tegasnya, tindakan Anwar menerima dua katak politik menyebabkan pengundi terutama dari kaum Cina menolak calon PH dengan tidak turun mengundi.
“Kita lihat protes daripada pengundi Cina menolak (PKR) dan ramai tidak balik mengundi. Kita sasar 70% tetapi yang keluar (mengundi) 61% sahaja.