2 lelaki didakwa bunuh, culik dan menyamar polis

2 lelaki didakwa bunuh, culik dan menyamar polis

Tertuduh M.Murugan dan Wong Yon Kuan didakwa melakukan kesalahan itu di Bandar Springhill, Lukut pada 13 November lalu

Tiada pengakuan direkodkan daripada semua tertuduh yang turut tidak dibenarkan diikat jamin oleh mahkamah. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Dua lelaki dihadapkan ke Mahkamah Majistret di Port Dickson, hari ini atas dakwaan membunuh, menculik serta menyamar sebagai anggota polis dalam kejadian di Bandar Springhill, Lukut, dua minggu lalu.

Tertuduh, M Murugan, 44, yang juga ketua pengawal keselamatan dan penganggur, Wong Yon Kuan, 43, hanya mengangguk faham selepas pertuduhan dibacakan di hadapan majistret V Vanita.

Menurut laporan Kosmo!, tiada pengakuan direkodkan daripada semua tertuduh yang turut tidak dibenarkan diikat jamin.

Berdasarkan pertuduhan pertama dan kedua, kedua-dua tertuduh bersama-sama tiga individu yang masih bebas didapati telah membunuh dan melarikan seorang juruteknik lelaki, A Vasuden, 39.

Kesalahan itu dilakukan di Jalan Springhill 3/3, Bandar Springhill, Lukut antara jam 5.40 hingga 9.45 pagi, 13 November lalu.

Dakwaan dikemukakan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang memperuntukkan hukuman mati, jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan ketiga, mereka didakwa bersama-sama tiga individu yang masih bebas didapati menyamar sebagai penjawat awam iaitu polis kepada isteri mangsa, S Hindumathy, 38, di mana tertuduh bukanlah seorang penjawat awam yang sah.

Kesalahan itu dilakukan pada masa dan lokasi yang sama.

Dakwaan dibuat mengikut Seksyen 170 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 34 kanun yang jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara dua tahun dengan denda atau kedua-duanya sekali.

Timbalan Pendakwa Raya Fatin Nur Athirah Zainuddin mengendalikan pendakwaan manakala tertuduh diwakili peguam T Harpal Singh.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.