
Ketua Polis Daerah Sentul Beh Eng Lai berkata lelaki warga Singapura dan Bangladesh berusia 30-an dan 40-an itu ditahan di Jalan Kerinchi Kiri 2, Pantai Dalam, di sini pada 5 Nov lepas susulan polis menerima laporan penipuan ubah suai rumah.
Menurut laporan Bernama, mereka dipercayai memperdaya pemilik unit kondominium yang terdiri daripada golongan profesional menerusi modus operandi seperti menawarkan pakej ubah suai dalaman rumah, pembelian barangan perabot atau elektrik serta mendapatkan penyewa di rumah mangsa.
“Mangsa yang telah membuat pembayaran akan diberi gambar atau video perabot atau barangan elektrik dipasang di rumah mangsa seperti pakej yang ditawarkan namun mangsa kemudian mendapati perabot atau barangan elektrik yang dipasang tersebut telah tiada.
“Siasatan mendapati suspek telah membuka perabot atau barangan elektrik di rumah mangsa selepas menunjukkan gambar atau video, kemudian memasang barangan terbabit di rumah mangsa lain bagi memperdaya mereka,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sentul hari ini.
Beh mendedahkan terdapat satu kes dengan mangsa menerima gambar ubah suai dalaman rumah telah siap 80% namun sebaik tiba di rumah, suspek bertindak mengubah kunci rumah sehingga mangsa terpaksa memanggil tukang kunci.
“Apabila mangsa membuka pintu rumahnya, mangsa mendapati tiada sebarang perabot di rumah seperti gambar dihantar suspek,” katanya.
Tambahnya, pihaknya sedang mengesan seorang suspek utama sindiket itu yang berusia 47 tahun.
Beliau berkata kedua-dua lelaki itu disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu dan Akta Imigresen kerana tidak memiliki dokumen perjalanan yang sah.
Beh sehubungan itu menasihatkan orang ramai supaya tidak mudah mempercayai sebarang pakej pengubahsuaian rumah dengan harga menarik dan membuat pengesahan yang ditawarkan tanpa bergantung kepada gambar-gambar yang ditunjukkan oleh kontraktor sebelum membuat pembayaran.
“Sebarang maklumat berhubung kes-kes jenayah komersial, sila hubungi IPD Daerah Sentul di talian 03-40482222 atau ASP Fitri Abdullah 011-12353551,” katanya.