
Tertuduh, P Mahendran, 31, dijatuhkan hukuman itu selepas mengaku bersalah atas empat pertuduhan yang dibaca dalam bahasa Tamil di hadapan Majistret, Maslinda Selamat.
Mahkamah memerintahkan pemandu lori itu dipenjara 22 bulan jika gagal membayar denda, lapor Sinar Harian.
Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh didakwa melakukan khianat dengan merosakkan pinggan-mangkuk, meja makan dan peralatan di dalam kedai dengan niat menyebabkan kerugian dan kerosakan kepada pemiliknya, Tiew Siew Ban.
Bagi kesalahan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 426 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga lima tahun atau denda atau dengan kedua-duanya jika sabit kesalahan.
Bagi pertuduhan kedua, dia didakwa menggunakan kekerasan jenayah ke atas mangsa sama dan dituduh bawah Seksyen 352 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga tiga bulan, atau denda maksimum RM1,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Pertuduhan ketiga pula, dia didakwa melakukan perbuatan khianat dengan mencalarkan kereta polis jenis Honda Civic menggunakan kayu rotan sehingga menyebabkan kerugian RM3,700.
Dia dituduh bawah Seksyen 427 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara antara satu hingga lima tahun atau denda atau dengan kedua-duanya jika sabit kesalahan.
Bagi pertuduhan keempat, tertuduh didakwa menggunakan kekerasan jenayah ke atas anggota polis, Mohamad Fazlan Azir dengan niat menghalang atau menakutkannya daripada menjalankan tugas.
Jika sabit kesalahan mengikut Seksyen 353 Kanun Keseksaan, dia boleh dihukum penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya.
Semua kesalahan didakwa dilakukan di premis di Jalan Pandan 2, Telok Mengkuang, antara 3.15 hingga 3.30 petang 8 April lalu.
Semasa prosiding, Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Amirul Syafiq Yazid mencadangkan tertuduh dikenakan hukuman setimpal dengan mengambil kira faktor kepentingan awam dan kesan kerosakan dialami semua mangsa.
Bagaimanapun, peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Muhd Muqri Mohd Khairi, merayu anak guamnya dikenakan denda ringan kerana tidak mempunyai rekod jenayah lampau.
“Kejadian berlaku kerana timbul kekeliruan dan selisih faham mengenai pembayaran makanan. Tertuduh juga sudah insaf atas perbuatannya dan berjanji tidak akan bertindak melulu selepas ini,” katanya.
Terdahulu, tular video di media sosial memaparkan seorang lelaki bersenjata mengejar anggota polis di sebuah restoran sebelum suspek berjaya ditangkap.