
Berikutan peletakan jawatan Illyas, Mohamed Farid Abu Hassan dilantik sebagai Pengerusi Interim Serba Dinamik berkuatkuasa Isnin lalu.
Menerusi surat peletakan jawatan bertarikh 22 Nov lalu, kepada syarikat penyedia perkhidmatan bersepadu minyak dan gas itu, Illyas Pakeer dan Johan menyatakan syarat pengendali pasaran ekuiti telah menghalang mereka daripada melaksanakan tugas secara adil.
Atas sebab berkenaan, mereka tidak dapat memenuhi tanggungjawab kepada syarikat, pemegang saham atau memainkan peranan pengarah bebas yang adil secara menyeluruh dalam pasaran modal Malaysia.
“Mematuhi keperluan yang dikenakan oleh Bursa Malaysia akan meletakkan kedua-dua mereka dalam kedudukan yang tidak boleh dipertahankan, bercanggah dengan tanggungjawab.
“Pada pendapat mereka, tindakan kurang matang dan tidak adil disebabkan semakan khas bebas yang tidak lengkap oleh Ernst & Young yang masih berterusan dan dengan itu tidak dapat dimuktamadkan,” kata Serba Dinamik dalam makluman di Bursa Malaysia hari ini lapor Berita Harian.
Illyas Pakeer dan Johan dilantik ke jawatan tersebut pada 18 Jun lalu.
“Serba Dinamik mengucapkan terima kasih atas perkhidmatan cemerlang Illyas dan Johan serta dedikasi serta sumbangan mereka sepanjang lima bulan memegang jawatan berkenaan.
“Serba Dinamik telah menyaksikan peningkatan dari segi mengukuhkan kedudukan di mata pelabur dan rakan kerjasama, meningkatkan prestasi kami dan membina model perniagaan yang sentiasa berkembang serta mengekalkan hubungan kerjasama yang baik sama ada di dalam mahupun di luar organisasi,” jelas Serba Dinamik.
Serba Dinamik berkata, Illyas akan diingati berikutan tindakan tegasnya terhadap bekas juruaudit luar, KPMG PLT di mana beliau menyamakan piawaian perakaunan atau pengauditannya sama seperti ‘juruaudit kedai’.
Kenyataan itu dibuat ketika penampilan sulungnya ekoran tindakan Serba Dinamik memfailkan tuntutan sivil terhadap KPMG disebabkan kerosakan besar ke atas harga saham dan permodalan pasarannya.
Saham Serba Dinamik diniagakan pada 35 sen, sebelum dagangannya digantung 22 Oktober lalu menjadikan pemodalan pasaran berjumlah RM1.31 bilion.