Rang undang-undang tembakau, rokok elektronik dibentang tahun depan

Rang undang-undang tembakau, rokok elektronik dibentang tahun depan

Kementerian Kesihatan berkata rang undang-undang baharu itu akan membolehkan kawalan menyeluruh terhadap produk tembakau serta rokok elektronik.

Rang undang-undang baharu itu akan membolehkan kawalan lebih menyeluruh dapat dilaksanakan terutama kepada produk tembakau dan produk baharu seperti vape, menurut Kementerian Kesihatan.
PETALING JAYA:
Kerajaan menjangkakan rang undang-undang mengenai kawalan penggunaan tembakau, rokok elektronik, vape dan shisha akan dibentang selewat-lewatnya pada penggal pertama sidang Dewan Rakyat tahun depan.

Kementerian Kesihatan memaklumkan perkara itu menerusi jawapan bertulis kepada Shahruddin Md Salleh (Pejuang-Sri Gading) semalam, yang bertanyakan mengenai status rang undang-undang itu yang sepatutnya dibentangkan tahun lalu.

Dalam jawapan itu, kementerian berkata drafnya disediakan pada 2016 dan telah dihantar kepada Jabatan Peguam Negara pada Ogos 2019 tetapi dipulangkan semula kepada kementerian bagi mendapatkan mandat baharu susulan berlakunya pertukaran kerajaan.

Katanya, rang undang-undang baharu itu akan membolehkan kawalan lebih menyeluruh dapat dilaksanakan terutama kepada produk tembakau dan produk baharu seperti vape yang menarik ramai perokok muda.

Kementerian juga berkata ia telah membuat permohonan tarikh pembentangan ke Dewan Rakyat melalui Bahagian Hal Ehwal Undang Undang (BHEUU), Jabatan Perdana Menteri.

Sementara itu, mengenai penjualan arak pula, Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) berkata ia tidak mempunyai perancangan khusus untuk mewujudkan “Zon Kawalan Arak”

KPKT memberi jawapan secara bertulis kepada pertanyaan Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz semalam mengenai cadangan untuk mewujudkan Zon Kawalan Arak di kawasan penjualan minuman beralkohol serta kawasan yang mempunyai kes jenayah berkaitan dengan pengambilan minuman keras itu.

“Melalui Rancangan Tempatan (RT), kerajaan negeri telah mempunyai perancangan guna tanah masa hadapan yang mana ia melibatkan pengezonan guna tanah iaitu perniagaan, perumahan, industri, kemudahan awam serta kawasan lapang.

“Oleh itu, Pihak Berkuasa Negeri boleh membuat perancangan penyusunan semula premis penjualan minuman beralkohol dengan menetapkan dasar penjualan minuman keras dan menentukan zon kawasan yang dibenarkan menjual minuman beralkohol,” kata kementerian itu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.