
Kumpulan itu menyifatkan reformasi itu sebagai langkah institusi bermakna, jika dirangka dengan betul mampu memperkukuh sistem semak dan imbang secara signifikan dalam sistem tadbir urus Malaysia.
Namun, Projek Sama menyatakan RUU melaksanakan reformasi tersebut mesti dikaji dan diperhalusi PSC, sebelum dibentang untuk perbahasan di Dewan Rakyat.
“Sebagai alternatif, RUU ini boleh dibentangkan lebih awal bagi membolehkan Ahli Parlimen dan orang awam mengkaji serta memperhalusinya sebelum bacaan kedua. Perlu ada peluang untuk pindaan dibuat di peringkat jawatankuasa,” kata kumpulan reformasi itu dalam kenyataan.
Awal hari ini, Anwar umum pentadbirannya akan membentangkan RUU bagi had tempoh perkhidmatan perdana menteri kepada dua penggal, atau maksimum 10 tahun, bersama dengan RUU untuk mengasingkan peranan peguam negara dengan pendakwa raya apabila Parlimen bersidang semula, lewat bulan ini.
Kerajaan juga berhasrat memperkenalkan undang-undang ombudsman bagi meningkatkan ketelusan dalam sektor awam, serta undang-undang kebebasan maklumat untuk membendung potensi salah guna kuasa dalam projek kerajaan.
Mengenai cadangan had tempoh jawatan perdana menteri, kumpulan itu menyatakan langkah berkenaan akan meningkatkan kepercayaan awam terhadap parti politik dan membolehkan pembaharuan kepimpinan.
“Menunaikan perkara belum dilaksanakan dalam memorandum persefahaman (MoU) 2021 antara kerajaan Keluarga Malaysia dan Pakatan Harapan — di mana sebahagian besar parti tersebut kini berada dalam kerajaan Madani — dapat meningkatkan kepercayaan awam terhadap parti politik.”
Projek Sama turut menggesa proses pelantikan pendakwa raya dilakukan secara telus, berasaskan merit, dan tidak berada dalam kawalan eksekutif, demi memastikan pemegang jawatan itu bebas pengaruh tidak wajar.