Lebih 4.7 juta remaja di Selangor selesai 1 dos vaksin

Lebih 4.7 juta remaja di Selangor selesai 1 dos vaksin

Exco Selangor Dr Siti Mariah Mahmud berkata dianggarkan sejumlah 348,890 orang masih belum menerima vaksin.

Program pemberian vaksin kepada remaja berusia 12 hingga 17 tahun masih diteruskan membabitkan pelbagai agensi, menurut Dr Siti Mariah Mahmud. (Gambar Bernama)
SHAH ALAM:
Seramai 4,772,010 rakyat Selangor berusia 12 tahun ke atas selesai mendapat sekurang-kurang satu dos suntikan vaksin Covid-19 setakat 22 Nov.

Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kesihatan Awam, Perpaduan dan Pembangunan Wanita dan Keluarga negeri, Dr Siti Mariah Mahmud berkata, dianggarkan sejumlah 348,890 orang dalam kumpulan itu masih belum menerima vaksin.

Katanya, terdapat seramai 5,120,900 rakyat negeri ini yang berusia 12 tahun ke atas dan daripada jumlah itu, 569,100 adalah remaja berusia 12 hingga 17 tahun, selebihnya, iaitu 4,551,800 berusia 18 tahun ke atas.

“Seramai 4,772,010 rakyat di negeri ini sudah menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin dan dianggarkan sejumlah 348,890 orang belum menerima vaksin hingga 22 Nov lalu,” katanya pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor.

Mengulas lanjut beliau berkata, program pemberian vaksin kepada remaja berusia 12 hingga 17 tahun masih diteruskan membabitkan pelbagai agensi termasuk Jabatan Pendidikan Negeri (JPN), Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) serta badan bukan kerajaan (NGO).

“Bagi kumpulan remaja yang sukar untuk hadir ke pusat pemberian vaksin (PPV), seperti remaja tidak bersekolah, Orang Asli serta remaja yang berada di institusi pemulihan atau rumah perlindungan.

“Proses pemberian vaksin dilaksanakan melalui program jangkau luar yang dijalankan oleh Pasukan Outreach Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) dan NGO,” katanya.

Mengenai status vaksin penjawat awam pula, Mariah memaklumkan jumlah masih belum mendapatkan dos imunisasi Covid-19 hanya seramai 132 orang, iaitu 0.59% daripada jumlah keseluruhan.

Bagi penjawat awam, jumlah keseluruhan terkini di Selangor adalah seramai 22,314 orang dan berdasarkan data diterima daripada 43 jabatan dan agensi hingga 16 Nov lalu.

Beliau menjawab soalan Elizabeth Wong Keat Ping (PH-Bukit Lanjan) mengenai populasi penduduk Selangor yang belum divaksin termasuk remaja berusia 12 tahun ke atas serta penjawat awam.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.