
Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) semalam dilaporkan berkata, Putrajaya telah membayar pengeluar vaksin Sinovac Biotech Ltd sebanyak 16.78% hingga 18.12% lebih tinggi daripada harga dipersetujui pada asalnya untuk 2.4 juta dos yang dihantar pada Mei dan Julai disebabkan kelewatan oleh Pharmaniaga.
Vaksin digunakan kerajaan adalah gabungan vaksin dibotol yang dibeli terus dari Sinovac, serta vaksin dihantar sebagai bahan mentah kepada Pharmaniaga dan dibotolkan secara tempatan.
Dalam satu kenyataan hari ini, syarikat farmaseutikal itu berkata, ia melengkapkan penghantaran mengikut kontrak sebanyak 12 juta dos, empat bulan lebih awal daripada jadual.
Pharmaniaga berkata, kerajaan membayar harga yang sedikit tinggi untuk pesanan tambahan dos vaksin Sinovac lengkap dari China bagi mempercepatkan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK).
“Pharmaniaga konsisten dengan komitmennya kepada kerajaan dalam memenuhi penghantaran vaksin ‘fill-and-finish’ Sinovac,” tambah kenyataan itu.
Katanya, syarikat turut memastikan standard piawaian tertinggi sentiasa dikekalkan dalam semua urusan perniagaannya.